SUKARELAWAN IRM bersama penduduk kampung membantu memotong daging untuk diagihkan.
SUKARELAWAN IRM bersama penduduk kampung membantu memotong daging untuk diagihkan.

Seramai 120 penerima manfaat Muslim daripada masyarakat Orang Asli kaum Jakun di sekitar Kedaik menerima agihan daging korban dalam Program Qurban Perdana anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM).

Program yang berlangsung di Kampung Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kedaik, Rompin, Pahang itu mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung terbabit.

Qurban Perdana ialah program tahunan IRM bertujuan meraikan sambutan Aidiladha bersama penerima manfaat daripada pelbagai latar belakang dalam menghayati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dalam menunaikan perintah Allah untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS.

Selain aktiviti penyembelihan, turut berlangsung dalam program itu ialah takbir raya dan tazkirah ringkas oleh penceramah jemputan, sesi psikososial kanak-kanak Orang Asli bersama kakitangan dan sukarelawan IRM serta penampilan khas daripada Ikon Kemanusiaan IRM Irma Hasmie dan Redza Shah.

Dalam program yang sama, sumbangan bantuan pek makanan turut diberikan kepada 200 keluarga Muslim dan bukan Muslim dari Kampung RPS Kedaik manakala 54 keluarga daripadanya turut menerima daging korban yang disembelih sebelum itu.

Pengarah Negara IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, program itu kali pertama dianjurkan IRM bersama masyarakat Orang Asli.

“Sebelum ini kami pernah bersama-sama penduduk tempatan dan masyarakat Rohingya dalam program yang sama. Tahun ini, dengan idea kreatif dan semangat membara daripada kakitangan IRM, kami mengorak langkah untuk bersama masyarakat Orang Asli dan dilaksanakan di luar Lembah Klang.

“Impak daripada program ini supaya kita dapat berkongsi kegembiraan dalam meraikan Aildiladha sekali gus mengeratkan silaturahim antara penerima manfaat, kakitangan dan sukarelawan IRM serta penderma,” katanya.

Menurutnya, buat tahun kedua berturut-turut IRM menerima tajaan binatang korban sebanyak tiga ekor lembu daripada Yayasan Sime Darby (YSD) menjadikan jumlah keseluruhan binatang korban yang diuruskan oleh IRM di Malaysia sebanyak enam ekor manakala tiga ekor lagi dikorbankan di Rumah Anak Yatim Miskin Yayasan Annur Maisarah, Chemor, Perak.

Kira-kira 300 orang kakitangan, sukarelawan IRM beserta penerima manfaat dan penduduk kampung hadir memeriahkan majlis termasuk wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), wakil Pejabat Agama Islam Daerah Rompin, Batin RPS Kedaik, Pengerusi JKKK Kg Rantau Panjang, Batin dan Pengerusi JKKK Kg Buluh Nipis, Batin dan Pengerusi JKKK Kg Guri, Batin dan Pengerusi JKKK Kg Jemeri dan Batin Kg Tanam.

Bagi Kempen Qurbani Merentasi Sempadan 2016, IRM membantu penerima manfaat di 28 negara termasuk Palestin, Syria dan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 4:51 AM