DEMI LOVATO
DEMI LOVATO
Ardini Sophia Sina


Apabila bercakap mengenai masalah berkaitan mental, penyanyi dan pelakon Demi Lovato tidak pernah malu mengakui dia mengalami bipolar dan pernah menjalani rawatan.

Demi berhadapan dengan gangguan pemakanan, ketagihan serta kecenderungan mencederakan diri sendiri pada 2011 dan Mac 2017, genap lima tahun Demi bebas daripada masalah bipolar.

Setiap hari dia akan pastikan ada perubahan dalam dirinya dan berterima kasih kepada keluarga, rakan dan doktor yang banyak membantu proses penyembuhan dan mengekalkan tahap kesihatannya. Demi cukup komited untuk memastikan dirinya tidak lagi dibelenggu masalah bipolar.

Katanya, sepanjang menjalani rawatan dia berharap masyarakat tidak mempunyai stigma terhadap pesakit bipolar. Mereka sudah cukup terseksa dengan masalah itu dan umum sepatutnya tidak menambah lagi derita.

“Sepanjang rawatan, saya terfikir untuk mencederakan diri tetapi doktor dan pembantunya tidak pernah bosan mengingatkan agar melakukan aktiviti yang dapat mengalihkan perhatian.

“Mereka setiap masa memantau keadaan saya tanpa kenal erti penat dan jemu. Rakan dan keluarga juga memainkan peranan sangat penting.

“Mengetahui keadaan saya, mereka tidak pernah menambah beban yang saya rasai. Mereka melayan saya sama seperti orang lain.

“Mungkin orang lain menganggap saya gila tetapi keluarga dan rakan tidak melihat saya seperti itu. Saya bersyukur kerana mereka tidak pernah putus asa dan menerima saya seadanya,” kata Demi.

Menurutnya, bukan mudah memulihkan penyakit itu kerana memerlukan rawatan berterusan. Katanya, mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan sekali atau dua tidak mungkin dapat memberi kesembuhan seperti diharapkan.

“Penghidap bipolar harus berjumpa dengan pakar psikiatri mengikut jadual ditentukan. Pesakit tidak mungkin hanya ingin sembuh dalam tempoh tertentu apatah lagi mereka yang mengalami gangguan mental.

“Mustahil untuk membebaskan diri daripada penyakit bipolar tetapi seseorang boleh memastikan kesihatan mentalnya berada pada tahap paling baik.

“Jika anda kenal seseorang atau diri sendiri mempunyai gangguan mental, saya ingin katakan bahawa ada harapan untuk hidup sihat tanpa diganggu masalah bipolar.

“Saya adalah bukti situasi itu. Menerima kenyataan dan mendapatkan rawatan berterusan membuatkan saya kini hidup sihat,” katanya.

Tegas Demi, tidak perlu malu jika menghidap bipolar dan perlu mempunyai pengetahuan mengenai penyakit itu. Dengan cara itu barulah kita dapat membantu diri sendiri dan orang sekeliling.

“Kita harus kuasai perkara asas seperti tanda-tanda awal penyakit itu akan menyerang,” katanya.

Disebabkan masalah itu, tidak hairanlah kerjaya Demi mempunyai banyak ruang kosong. Ada ketikanya dia sangat sibuk dengan karier, adakalanya seolah-olah hilang daripada industri.

Bagaimanapun, bekas bintang Disney itu tidak pernah berputus asa meneruskan kerjaya dalam bidang seni. Pada awal kemunculan, Demi pernah menyertai konsert jelajah Camp Rock 2 bersama kumpulan Jonas Brother tetapi dia meninggalkan konsert itu lebih awal kerana mengalami bulimia, ketagih kokain, mencederakan diri sendiri dan disahkan mengalami bipolar.

Pada 2011, Demi mula menjalani rawatan bipolar secara intensif. Masih terikat dengan Disney, Demi kembali dengan lagu Skyscraper.

Popularitinya kembali meningkat dan diundang menjadi juri program The X Factor USA. Dia kini mempunyai ramai peminat kalangan wanita lebih dewasa. Itu membuktikan peminatnya tidak menjadikan masalah kesihatan Demi sebagai isu besar.

Demi kini menjadi antara pemilik CAST Centre, tempat yang menyediakan fasiliti untuk mereka yang mempunyai masalah mental.

Dia juga sentiasa meluangkan masa untuk bertemu pesakit yang memerlukan bantuan dan berkongsi pengalaman serta memberi semangat kepada mereka.

“Saya juga menerima rawatan di CAST Centre kemudian mengambil keputusan untuk melabur dan menjadi antara pemilik pusat kesihatan mental itu.

“Saya ingin memberikan bantuan terutama pesakit yang mempunyai masalah kewangan. Itu antara tanda sokongan saya agar mereka terus berusaha untuk sihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2016 @ 5:07 AM