JANNA Nick
JANNA Nick
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Kegiatan buli siber dilihat semakin membimbangkan di negara ini selepas Malaysia berada di kedudukan kelima dunia dalam kategori itu serta yang pertama di Asia sebagai 'kaki buli' di alam maya.

Terbaharu, pelakon dan penyanyi Janna Nick menjadi mangsa buli siber apabila dirinya didakwa sebagai individu yang mempunyai penyakit mental.

Walaupun masalah gangguan bipolar yang dikongsikan sebelum ini untuk memaklumkan tahap kesihatannya, namun perkara itu dianggap satu jenaka dan dijadikan satu bentuk kecaman oleh netizen di media sosial.

Janna berkata, dia tidak tahu apa yang menyebabkan pembuli siber ini begitu bangga dengan tindakan yang dibuat.

"Tak payah nak bangga sangat dapat jadi pembuli siber terhebat. Saya tak faham apa kejayaan anda dapat kecam orang. Adakah anda rasa puas dapat komen benda yang negatif. Anda sangat pelik," katanya. Menurut Janna, komen kurang matang dan mengecam orang lain di media sosial turut mencerminkan diri sebenar seseorang itu.

"Kadang-kadang saya tertanya-tanya bagaimana boleh ada manusia yang pergi ke akaun orang semata-mata nak komen benda yang teruk dan menyakitkan hati.

"Saya pun pengguna media sosial juga tapi tiadalah pergi tengok benda yang kita sendiri tak suka dan komen. Benda ini sangat serius kerana boleh mencerminkan hati anda. Saya pun tidaklah baik, tapi kalau benda yang saya suka saya akan komen positif. Namun kalau saya tak suka, saya pilih untuk diam. Tidaklah gigih nak muat naik hantaran atau nak kutuk orang," katanya.

Dalam masa sama, Janna kecewa dan terkesan dengan komen yang ditinggalkan seorang individu mendakwa dirinya memiliki penyakit mental.

"Kenyataan sekarang. Jadi artis tak boleh cakap benda yang salah. Jadi netizen semua bendalah boleh cakap. Semua benda boleh ulas. Kita ini tak payah ada perasaan. Sebab itu saya beritahu semua saya ada masalah gangguan bipolar. Bukan sebab nak perhatian anda, tapi sebab nak beritahu.

"Orang yang nampak gembira dan ceria pun boleh ada gangguan mental. Bukan orang pakai baju compang-camping je mental dan gangguan mental tak semestinya gila," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 4:06 PM