KIEN Keat (kiri) dan Boon Heong  pamer aksi cemerlang.
KIEN Keat (kiri) dan Boon Heong pamer aksi cemerlang.

Kuala Lumpur: Prestasi cemerlang beregu profesional negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada kejohanan Seluruh England membuka peluang cerah untuk mereka terpilih beraksi di saingan Piala Thomas, Mei ini.

Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen berkata, Kien Keat-Boon Heong ternyata berada pada prestasi terbaik ketika ini.

“Memang benar, mereka berpeluang cerah terpilih ke Piala Thomas dan perlu terus berusaha untuk tingkatkan prestasi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kien Keat-Boon Heong mara ke suku akhir yang berlangsung awal pagi tadi menentang rakan senegara Goh V Shem-Tan Wee Kiong selepas melakukan kejutan menewaskan juara dunia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan di pusingan kedua.

Kien Keat meninggalkan BAM pada 2014 sebelum Boon Heong mengikut jejak langkahnya pada tahun lalu dan selepas itu, mereka kembali bergandingan semula selaku beregu profesional.

Sejak itu, mereka berdua mempamerkan peningkatan dengan memenangi beberapa kejohanan sehingga menyaksikannya menduduki ranking ke-17 dunia ketika ini.

Frost juga memuji prestasi V Shem-Wee Kiong yang pada pandangannya bijak untuk menyerap tekanan.

“Yang pasti, kedua-dua beregu ini akan bersaing sengit untuk slot ke Sukan Olimpik Rio,” katanya.

Sementara itu, Kien Keat berkata, kemenangan ke atas Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan memberi petanda yang baik untuknya serta Boon Heong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2016 @ 6:10 AM