Snodgrass (kanan) ledak gol penyamaan Hull City.
Snodgrass (kanan) ledak gol penyamaan Hull City.
Agensi

London: Newcastle United terlepas tiga sepakan penalti apabila Hull City menundukkan pendahulu Liga Kejuaraan itu 3-1 menerusi penentuan penalti untuk layak ke separuh akhir Piala Liga Inggeris.

Penjaga gol Hull, Edin Jakupovic menyelamatkan dua penalti selepas tuan rumah beraksi keseluruhan masa tambahan dengan 10 pemain apabila Dieumerci Mbokani dibuang padang.

Newcastle mendahului pada masa tambahan apabila Mohamed Diame menampan masuk hantaran lintang Vurnon Anita untuk menyumbat gol menentang bekas kelabnya.

Kelebihan itu hanya bertahan kurang seminit apabila Robert Snodgrass menyamakan kedudukan.

Mbokani dibuang padang pada minit ke-89 kerana mengasari Jamaal Lascelles.

Perlawanan itu hanya menarik pada masa tambahan dengan 90 minit pertama menyaksikan hanya dua percubaan menepati sasaran.

Newcastle kini kalah sembilan daripada 10 penentuan penalti dalam semua pertandingan, namun anak buah Rafael Benitez pasti bingung kenapa mereka tidak menang dalam tempoh 120 minit.

Mereka mempunyai 32 percubaan dalam tempoh itu namun penyudahnya amat teruk seperti sepakan penalti. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 8:21 AM