Berlin: Pasukan penuh kejutan Sportfreunde Lotte mencipta satu lagi gempar awal pagi semalam di sebalik menamatkan aksi Piala Jerman menentang Bayer Leverkusen dengan 10 pemain apabila mereka menang 4-3 menerusi penentuan penalti.

Kelab divisyen tiga Lotte mengejutkan pasukan Bundesliga, Werder Bremen pada pusingan pertama.

Di sebalik menyaksikan pertahanan Tim Wendel dibuang padang pada minit ke-79 kerana kad kuning kedua, Lotte berjaya mengekalkan kedudukan seri 2-2 selepas masa tambahan pada pertembungan pusingan kedua itu.

Leverkusen diejek penyokong mereka sendiri manakala pengarah sukan Rudi Voeller dilihat berang.

“Ini sesuatu yang boleh dianggap bodoh,” katanya.

Dua gol Kevin Volland buat Leverkusen dipadamkan gol sendiri Roberto Hilbert (gambar) dan gol penyamaan Kevin Freiberger buat Lotte pada minit ke-106.

Ketika penentuan penalti, pemain Chile, Charles Aranguiz, Volland dan Julian Baumgartlinger dari Austria, semuanya pemain kebangsaan, gagal menyempurnakan sepakan buat Leverkusen.

Ia amat membimbangkan buat Bayer, yang akan berkunjung ke Tottenham Hotspur dalam Liga Juara-Juara minggu depan namun kini tidak menang dalam empat aksi terakhir mereka.

“Ini situasi paling sukar dialami sejak saya menyertai kelab ini,” akui penyerang Stefan Kiessling, yang menghabiskan sedekad lalu di Bayer. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 9:15 AM