Mohd Badlishah Md Ali


Kuala Lumpur: Sebaik wisel penamat ditiup, pemain, pengurus serta penyokong Remaja Semangat Juang (RSJ) C dari Kuala Terengganu terus menjerit, memeluk satu sama lain, ada yang terbaring sambil menekup muka, itulah suasana pada perlawanan akhir Grand Final Karnival Futsal MILO Hidup Bola (KFMHB) B-16 selepas menumpaskan Bukit Chedang dari Negeri Sembilan 3-0 di Subang Sports Planet, Ahad lalu.

Jaringan Muhammad Ashraf Hanif, Muhammad Aliff Safwan Salahudin dan Muhammad Syahmi Zamri memadai buat RSJ C kendalian Tuan Ruslim Tuan Ab Razak untuk dinobat juara antara juara KFMHB edisi ke-11 itu.

Sebelum itu pada saingan separuh akhir RSJ C terpaksa berhempas-pulas sebelum menang tipis 2-1 ke atas Remaja Semangat Pejuang (RSP) Titan dari Selangor manakala Bukit Chedang menumpaskan TJJ FC dari Kuala Lumpur 3-2.

“Saya bersyukur kerana kami bergelar juara, Alhamdulillah berkat kegigihan semua pemain, semangat sepasukan dan disiplin tinggi pemain menjadi punca menjurus kejayaan anak buah saya,” kata Tuan Ruslim.

Juara kategori B-12 menjadi milik Oran FC dari Perlis selepas memadam impian skuad jiran tetangga dari Kedah, Taman Uda FC (TU FC) 3-1. Gol Oran dijaringkan oleh Zulhilmi Sharani manakala Muhd Izrin Ibrahim meledak dua gol.

Pada separuh akhir, Oran mengecewakan Harimau Nusa dari Johor 1-0 manakala TU FC dipaksa bekerja keras oleh Queen Ekspress dari Kelantan sebelum menang tipis 5-4.

Hasil kejayaan itu, RSJ C dan Oran masing-masing membawa pulang RM15,000, trofi, pingat, barangan MILO-Figos manakala Bukit Chedang, TU FC menerima RM10,000; tempat ketiga bersama TJJ FC, RSP Titan, Harimau Nusa dan Queen Ekspress masing-masing menerima RM7,000. Pasukan terkandas di suku akhir masing-masing menerima RM2,000.

Hadiah disampaikan oleh Pengurus Eksekutif Perniagaan MILO, Philomena Tan sambil diiringi Pengurus Pemasaran Sukan Nestle Sdn Bhd, Ng Ping Loong dan Penolong Pemasaran Sukan Nestle, Kerwin Lim.

Menariknya jurulatih futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong memilih 12 pemain terbaik dalam kalangan pasukan bertanding untuk mewakili MILO Malaysia. Mereka akan diterbangkan ke Thailand untuk menerima latihan eksklusif bersama pasukan terbaik di Bangkok.

“MILO Hidup Bola sudah menyemai nilai kesukanan dan memupuk semangat takkan gentar dalam diri kanak-kanak, dengan harapan dapat mencungkil bakat serta membangunkan atlet masa depan Malaysia. Kami berharap dapat terus menjadikannya lebih besar setiap tahun untuk memupuk lebih ramai pemain dalam sukan bola sepak.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 8:00 AM