KERWIN (belakang tengah) meraikan kejayaan dua pasukan terbaik kategori B-12 di Zaba Samura SP Futsal Centre, Melaka.
KERWIN (belakang tengah) meraikan kejayaan dua pasukan terbaik kategori B-12 di Zaba Samura SP Futsal Centre, Melaka.
Mohd Badlishah Mohd Ali


Melaka: Dua jaringan Putera Shahrizal Haron sudah cukup membantu Stylo Mylo Orange merangkul kejuaraan selepas menewaskan AZ Kids A 2-1 pada aksi final Karnival Futsal MILO Hidup Bola 2016 (KFMHB) kategori bawah 12 tahun di Zaba Samura SP Futsal Centre, Melaka, baru-baru ini.

Sebelum itu pada saingan separuh akhir, AZ Kids A tidak menghadapi masalah selepas menewaskan Stylo Mylo Blue 4-1 manakala Stylo Mylo Orange dipaksa bekerja keras oleh pasukan Sinar FC A sebelum menang tipis 3-2.

Kecemerlangan Putera Shahrizal diiktiraf penganjur apabila dia dianugerahkan pemain terbaik final manakala Abdul Rahim Kamaruddin dari AZ Kids A dinobat penjaga gol terbaik.

Pengurus Stylo Mylo Orange Muhammad Bahkeri Mohd Nor berkata, beliau bersyukur atas kejayaan mengiringi dua lagi pasukan Stylo Mylo A dan Stylo Mylo Yellow ke saingan Grand Final yang muncul juara dan naib juara di sirkit Johor pada 13 Ogos lalu.

Alhamdulillah usaha gigih pemain berjaya membuahkan hasil. Terima kasih juga kepada ibu bapa pemain turut memainkan peranan penting mencetus kejayaan pasukan kami,” katanya.

Kategori bawah 16 tahun, juara milik Charo A apabila menewaskan skuad Impro FC dari Johor Bahru 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 pada aksi sebenar.

Saingan separuh akhir, Impro FC membelasah Charo B 5-1 manakala Charo A menumpaskan Bukit Chedang 1-0.

Stylo Mylo Orange, AZ Kids A, Charo A dan Impro FC akan mewakili Melaka ke saingan Grand Final yang akan berlangsung di Ampang Sports Planet pada 27 November ini.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Eksekutif Pemasaran Sukan Nestle Product Sdn Bhd, Kerwin Lim.

Hadiah paling hebat dan berprestij menanti juara Grand Final iaitu wang tunai RM15,000, pingat, barangan MILO dan Figos manakala naib juara menerima RM10,000, pingat, barangan MILO dan Figos. Pemenang tempat ketiga bersama masing-masing menerima RM7,000 dan tempat kelima hingga kelapan masing-masing menerima RM2,000.

Siri keenam KFMHB akan diadakan di Orbit De Futsal, Kota Bharu, pada 10 September ini diikuti Sports Planet Kuching, Sarawak pada 24 September. Siri ke-8 KFMHB berlangsung di D’Futsal Centre Kepala Batas, Kedah pada 1 Oktober dan D’Futsal Centre Kangar (2 Oktober).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 12:53 PM