Keadaan kereta yang terbalik dalam kebun kelapa sawit yang mengakibatkan dua kanak-kanak maut (gambar kanan). - Foto Ihsan BOMBA JOHOR
Keadaan kereta yang terbalik dalam kebun kelapa sawit yang mengakibatkan dua kanak-kanak maut (gambar kanan). - Foto Ihsan BOMBA JOHOR
BERNAMA

Johor Bahru: Dua sepupu terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 26, Jalan Lok Heng-Mawai berhampiran sebuah kuari di Kota Tinggi, dekat sini, semalam.

Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Muhammad Fakhri Aufa Muhamad Faidz, berusia setahun dan Nur Natasya Nabiela Abdullah, 11.

Kejadian kira-kira 5.30 petang itu turut mengakibatkan ibu Muhamad Fakhri Aufa iaitu Norsuhadah Ramli, 30, serta kakak tirinya, Aleesya Nur Jasmin Abdullah, 5, cedera parah di kepala dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman berkata, kemalangan dipercayai berpunca apabila kereta Perodua Kancil dipandu Norsuhadah dari arah Kota Tinggi ke Felda Lok Heng, melanggar lubang di kiri jalan, menyebabkan keretanya hilang kawalan lalu terbabas ke dalam ladang sawit berhampiran dan terbalik.

“Anak lelaki Norsuhadah, Muhammad Fakhri Aufa serta anak saudaranya (Nur Natasya Nabiela) mati di tempat kejadian manakala yang lain cedera parah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, jalan di tempat kejadian adalah lurus dua hala dengan cuaca cerah dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 12:00 PM