Ab Rahman pada Majlis Kunjungan Hormat Ketua Polis Kelantan ke UMK dan Penyerahan Kad Kuasa Kor SUKSIS di UMK Kampus Bachok. FOTO Syamsi Suhaimi
Ab Rahman pada Majlis Kunjungan Hormat Ketua Polis Kelantan ke UMK dan Penyerahan Kad Kuasa Kor SUKSIS di UMK Kampus Bachok. FOTO Syamsi Suhaimi
Nor Amalina Alias


Bachok: Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 bagi memburu pemilik akaun Facebook (FB), Rosli Johol yang memuat naik status dan gambar menghina Sultan dan pemimpin negara termasuk Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, pihaknya menerima beberapa laporan polis yang dibuat badan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa individu dari seluruh Kelantan mendesak siasatan itu dilakukan segera.

"Kita sudah mula menerimanya sejak semalam dan menjangkakan laporan polis akan terus bertambah kerana status yang dimuat naik pemilik akuan itu menghina serta mendatangkan kemarahan rakyat.

"Pemilik akaun FB itu juga menyebut beberapa Sultan negeri lain dan kita jangka negeri berkenaan juga akan membuka kertas siasatan serupa sekiranya menerima laporan.

"Kes ini kita siasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan boleh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Kunjungan Hormat ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Penyerahan Kad Kuasa Kor Sukarelawan Siswa/Siswi (Suksis) di UMK Kampus Bachok, di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UMK, Prof. Dato' Dr. Mortaza Mohamed dan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Nik Aminuddin Raja Abdullah.

Mengulas lanjut, Ab Rahman berkata, beliau sendiri menerima mesej WhatsApp secara peribadi daripada beberapa kumpulan dan individu yang mendesak tindakan tegas dikenakan ke atas pemilik akaun itu.

Rosli Johol menimbulkan kemarahan ramai apabila memuat naik gambar dan status menghina beberapa Sultan termasuk Sultan Muhammad V yang juga bakal Yang di-Pertuan Agong, sejak Mac lalu.

Dalam akaun Facebook itu turut mempunyai maklumat menghina Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selain beberapa pemimpin Islam lain.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 6:05 PM