KEHIJAUAN hutan bakau Biogeotrail Kubang Badak cukup mendamaikan.
KEHIJAUAN hutan bakau Biogeotrail Kubang Badak cukup mendamaikan.
BUNGA raya hutan yang boleh ditemui di Biogeotrail Kubang Badak.
BUNGA raya hutan yang boleh ditemui di Biogeotrail Kubang Badak.
GUA Pinang mempunyai kepelbagaian geologi dan biologi yang unik.
GUA Pinang mempunyai kepelbagaian geologi dan biologi yang unik.
BUKIT MANORA tapak budaya dan sejarah cukup bermakna.
BUKIT MANORA tapak budaya dan sejarah cukup bermakna.
HELANG antara penghuni hutan bakau.
HELANG antara penghuni hutan bakau.
POKOK bakau mempunyai keunikan tersendiri.
POKOK bakau mempunyai keunikan tersendiri.
GOK yang ditemui membuktikan aktiviti memproses kayu arang aktif di Bukit Menora satu ketika dahulu.
GOK yang ditemui membuktikan aktiviti memproses kayu arang aktif di Bukit Menora satu ketika dahulu.
PEMBINAAN gok arang daripada batu-batuan sungai.
PEMBINAAN gok arang daripada batu-batuan sungai.
MENDAKI bukit berbatu untuk ke Bukit Menora.
MENDAKI bukit berbatu untuk ke Bukit Menora.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Meneroka dan menyusuri hutan paya bakau menghijau dan subur antara aktiviti menarik yang sering dilakukan pengunjung ke Langkawi terutama mereka yang gemar menghayati keindahan alam sekitar.

Selain Kilim Geopark yang popular dengan aktiviti itu, kini anda mempunyai satu lagi destinasi menarik - Biogeotrail Kubang Badak.

Mula dibuka kepada pengunjung awal tahun ini, biogeotrail yang diuruskan Koperasi Nelayan Sungai Kubang Badak mempunyai tiga tarikan utama iaitu biologi, geologi dan budaya.

Biogeotrail Kubang Badak mempunyai 10 titik penemuan atau tempat menarik iaitu pangkalan nelayan, pusat maklumat, Pulau Kubang Badak, Sungai Siam, landskap menarik, mata air panas, Pulau Jemuruk, Pulau Dangli, Tanjung Buta dan beting pasir.

Kunjungan ke Biogeotrail Kubang Badak yang diaturkan Resort World Genting Langkawi baru-baru ini nyata mengujakan.

Mulanya, penulis rasa sedikit bosan kerana sudah pernah mengikuti pelayaran hutan bakau di Kilim Geopark sebelum ini.

Namun, kebenaran pepatah ‘tak kenal maka tak cinta’ terungkai kerana setiap lokasi yang dikunjungi memiliki tarikan unik dan menyeronokkan.

Memulakan penerokaan, kami dibawa menelusuri Sungai Siam yang menyimpan banyak sejarah mengenai tinggalan perkampungan masyarakat itu.

Bagaimanapun, keadaan jeti yang sudah uzur tidak mengizinkan kami singgah di situ.

Pemandu pelancong Mohd Muhaimin Fazil berkata, dahulu sebilangan masyarakat Siam di situ tinggal di darat dan di dalam bot.

“Sesetengahnya tinggal di dalam bot kerana jika berlaku masalah atau kecemasan, mereka boleh balik ke Thailand dengan cepat,” katanya.

Walaupun tidak dapat melihat tinggalan perkampungan Siam, kami berpeluang melihat beberapa hidupan yang menjadi penghuni hutan bakau Kubang Badak, antaranya ketam, monyet, biawak air, lotong dan banyak lagi.

Kami meneruskan penerokaan dengan mengenali sedikit sebanyak mengenai pokok bakau yang cukup unik di situ.

Sempat juga melihat kelibat burung helang yang banyak terdapat di kawasan paya bakau itu.

Seterusnya, kami menuju ke Bukit Menora, satu lagi lokasi yang memiliki nilai sejarah yang mengujakan untuk diteroka.

Bukit Manora kaya dengan hutan tropika, flora dan fauna termasuk pokok herba.

Kewujudan gok (dapur atau relau) untuk membuat arang yang dibina dengan batu-batuan sungai disusun rapi di sekitar Bukit Manora antara keunikan di sini.

Terdapat 10 gok dijumpai, sekali gus membuktikan industri arang kayu bakau di kawasan ini sangat aktif satu ketika dahulu.

Penemuan lain ialah serpihan mangkuk dan gelas yang tertera pengeluarannya pada tahun 1310.

Kembali menaiki bot, kami meneruskan penjelajahan ke Bukit Pinang. Berlainan dengan paya bakau yang pernah penulis sertai sebelum ini, kunjungan ke sini sangat berbeza.

Dari jeti, kami perlu meredah hutan berbukit kira-kira 10 minit. Walaupun laluannya agak mencanak, keletihan dirasai bagaikan hilang bersama angin yang bertiup lembut sebaik melihat pintu gua batu kapur.

Gua Pinang. Itulah nama diberikan kepada gua berusia 300 hingga 350 juta tahun ini yang dihuni kelawar yang tidak terkira jumlahnya.

Gua ini mempunyai banyak lorong di dalamnya berikutan penemuan beberapa pintu kecil selain pintu masuk utama.

Pelbagai aktiviti lain turut ditawarkan kepada pengunjung, antaranya melihat dan memberi ikan dan helang makan.

Dibuka setiap hari bermula 9 pagi hingga 5 petang, penerokaan hutan bakau Biogeotrail Kubang Badak agak berbeza kerana pengunjung bukan saja dapat merasai tetapi melihat, menikmati dan menimba ilmu cukup bermanfaat.

Untuk merasai sendiri keunikan dan keterujaan di Biogeotrail Kubang Badak ini, layari jalancutilangkawi.blogspot.com atau hubungi 012-2608806 atau 019-4291227.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 1:16 PM