KELIHATAN seperti kepala buaya menanti pengunjung di Gua Buaya.
KELIHATAN seperti kepala buaya menanti pengunjung di Gua Buaya.
Mohd Sharumnisham Shahbudin


Kita sering beranggapan ikan pari berbahaya kerana mempunyai sengat beracun. Tambahan pula kejadian menimpa `Crocodile Hunter’ Steve Irwin yang menyebabkan kematiannya menambahkan lagi persepsi bahawa ikan ini perlu dijauhi.

Namun sangkaan ini meleset apabila pengunjung yang singgah di Pak Su Fish Farm, Sungai Kilim, Langkawi bukan sahaja berpeluang menyentuh pari yang masih hidup, tetapi dapat memberi ikan itu makan dan memegang mulutnya.

Di samping itu, pengunjung diberi peluang memegang belangkas yang masih hidup dan merasai disumpit air oleh sejenis ikan yang bersembunyi di bawah sangkar.

Aktiviti ini antara tarikan utama pelancong yang menyertai pakej menyusuri Sungai Kilim dengan menaiki bot laju menerokai Kilim Geoforest Park.

Sepanjang perjalanan, pengunjung disajikan pemandangan indah flora dan fauna menakjubkan seperti bukit batu kapur yang terbentuk ratusan juta tahun dahulu dan pokok bakau yang menaungi tebing sungai.

Selain itu, pelancong akan dibawa melihat gua yang kelihatan seperti seekor buaya sedang tidur. Jika air surut, bot akan memasuki Gua Buaya dan memberi peluang pelancong melihat sendiri pelbagai bentuk stalaktit dan stalagmit separas bumbung bot.

Kemudian, pelawat akan menyaksikan `pertunjukan’ utama sesi lawatan itu, iaitu melihat kawanan burung helang hinggap ke permukaan sungai menyambar makanan.

Pada mulanya, tiada seekor pun helang kelihatan tetapi beberapa saat selepas kru bot melembarkan kulit ayam ke dalam sungai, beberapa ekor helang dari spesies Brahminy Kite dan Sea Eagle mula muncul dan terus menjunam ke sungai seekor demi seekor tanpa menghiraukan manusia yang berada di sekelilingnya.

Beberapa minit memperoleh pengalaman berharga itu, bot akan meneruskan perjalanan membawa pelancong melihat keindahan Laut Andaman yang kebiruan.

Di sini menjadi lokasi wajib pengunjung merakamkan kenangan bersama ikon Kilim Geoforest Park yang popular di seluruh dunia. Lebih menarik, jika diamati dengan teliti, batu di atas ikon itu kelihatan seperti seekor penyu yang sedang berehat.

Bagi yang mengikuti perjalanan selama dua jam, mereka akan berpatah balik ke jeti manakala yang mengambil pakej lawatan enam jam, eksplorasi diteruskan ke Pulau Fosil, Gua Langsir dan menikmati hidangan tengah hari di Sangkar Ikan Tanjung Rhu.

Sebelum bot berlabuh di jeti, pelancong akan ke hentian terakhir iaitu Gua Kelawar yang menjadi habitat koloni besar kelawar yang bergantungan dan formasi batu kapur menarik.

Tetapi hati-hati dengan kehadiran monyet yang terdapat di situ kerana haiwan ini akan cuba merampas apa sahaja makanan dipegang pengunjung.

Selayaknya destinasi ini dianugerahkan Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada 2007 dan ia antara tapak geopark diiktiraf di Langkawi selain Machinchang Geoforest Park dan Dayang Bunting Geoforest Park.

Bagi memperoleh kenangan indah ini, pelbagai pakej ditawarkan bergantung kepada masa dan kemampuan pelancong. Pakej termurah sekitar RM 200 untuk sebuah bot yang boleh memuatkan lapan orang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 5:53 AM