OJCT bergambar sebelum memulakan kayuhan.
OJCT bergambar sebelum memulakan kayuhan.

Johor Bahru: ‘Pocong Nite Ride’. Bunyinya agak seram dan menakutkan bagi sesiapa yang pertama kali mendengarnya.

‘Pocong Nite Ride’ juga bukan tajuk cerita hantu atau pengembaraan berhantu tetapi kayuhan malam lasak di dalam hutan yang dianjurkan Orang Johor Cycling Team (OJCT) sejak 2012.

Pengerusi OJCT Arshata Ali berkata, nama ‘Pocong Nite Ride’ itu diambil sempena nama laluan keluar ketika pasukannya tersesat semasa mencari trek di dalam hutan sebelum membuat program itu pada tahun pertama penganjurannya.

“Ketika itu, seramai 15 ahli pasukan kami tersesat dalam hutan pada waktu siang ketika mencari trek. Selepas itu, kami terjumpa seorang lelaki Cina menunggang motosikal. Kami bertanyakan laluan keluar, lalu dia berkata akan jumpa ‘Foh Chong’ (pocong).

“Kami mencari jalan yang dimaksudkan, rupa-rupanya jalan itu adalah Foh Chong yang bunyinya bila disebut seakan-akan pocong. Dari situlah kami mendapat idea untuk memberikan nama kayuhan malam ini ‘Pocong Nite Ride’ kerana bunyinya menarik dan ‘catchy’,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dia berkata, kayuhan malam sejauh 40 kilometer ‘off road’ itu adalah produk OJCT yang bertujuan memberi peluang peminat sukan basikal yang mempunyai kekangan kerja atau persekolahan pada sebelah siang untuk membuat kayuhan.

“Objektif kami adalah kerana kebanyakan ahli OJCT bekerja dan bersekolah pada sebelah siang. Jadi, kami aktiviti kayuhan di buat pada waktu malam sebagai medan latihan.

“Acara ini tidak terhad kepada pasukan kami, tapi terbuka kepada peminat sukan basikal lain. Setakat ini, ssudah lima kali acara ini dianjurkan dan kebiasaanya disertai lebih 1,000 peserta,” katanya.

Ashatar berkata, ‘Pocong Nite Ride’ ini juga adalah satu persediaan pasukannya bagi menghadapi Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) 2016 yang bakal berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, pada 3 Disember ini.

Katanya, mengakui pasukannya tidak mempunyai pelumba utama, tapi tetap yakin HMMTB ini sebagai persediaan mereka bagi memantapkan kemahiran dan teknikal untuk menghadapi cabaran lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 8:54 AM