PELUMBA OJCT bergambar sebelum memulakan latihan.
PELUMBA OJCT bergambar sebelum memulakan latihan.
Norazimah Narudin


Johor Bahru: Penganjuran Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (HMMTB) Grand Prix di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dekat Skudai, bertujuan mencungkil bakat muda dalam sukan berbasikal lasak.

Setakat ini, antara pasukan yang terdiri dari peserta remaja dan sudah berdaftar sejak sebulan lalu adalah pasukan Orang Johor Cycling Team (OJCT).

Pasukan yang terdiri daripada 50 ahli itu menghantar 25 pelumba dalam mengharungi cabaran trek berbukit dengan ketinggian 165 meter.

Pengerusi OJCT Arshata Ali berkata, pasukannya adalah antara pasukan yang majoritinya mempunyai ahli muda seawal usia tujuh hingga 12 tahun yang tidak asing lagi di bandar raya ini sejak penubuhannya pada 2010.

“Kami sudah mendaftar sejak sebulan lalu untuk menyertai HMMTB. Majoriti pasukan kami ini diwakili pelumba muda iaitu murid sekolah.

“Saya yakin pasukan kami tidak mempunyai masalah mengharungi cabaran ini memandangkan semua peserta ada pengalaman dan biasa melalui jalan ‘off road’ yang tidak bertar,” katanya semalam.

Arshata berkata, bagi menghadapi cabaran kali ini, OJCT sudah membuat latihan secara konsisten iaitu secara harian dan mingguan bagi meningkatkan daya fizikal dan mental selain menguatkan stamina.

“Antara persediaan kami ialah pada hujung minggu, saya akan mengumpulkan kanak-kanak ini untuk berkelah dalam hutan. Latihan berbasikal dalam hutan ini membiasakan mereka dengan suasana sebenar ketika berentap nanti.

“Mereka memang selalu berlatih berkayuh dalam suasana hutan. Saya selalu membawa mereka berkayuh mengikut laluan ‘off road’ yang tidak bertar sejauh 15 hingga 20 kilometer. Jadi mereka tidak ada masalah ntuk berkayuh di jalan ‘off road’.

“Saya anggap pasukan kami tidak bersaing dengan mana-mana pasukan lain, kerana saya hanya fokus kepada OJCT untuk melahirkan bakat muda Johor supaya mereka mendapat pendedahan yang menyeluruh dalam sukan lasak dengan menyertai acara HMMTB ini,” katanya.

Arshata berkata, beliau cuma berharap ahli pasukannya yang bukan profesional itu dapat berjaya menghabiskan kayuhan masing-masing hingga ke garisan penamat.

“Saya juga harap semua peserta yang menyertai kayuhan pada cabaran ini sampai ke garisan penamat tanpa sebarang masalah. Kita kayuh biarlah sampai habis walaupun di tempat paling tercorot,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 7:25 AM