AHMAD Asri (kiri) dan Dr Roslan pada taklimat media, semalam.
AHMAD Asri (kiri) dan Dr Roslan pada taklimat media, semalam.
Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Kerajaan diharap mengurangkan kadar cukai jentera dan mesin digunakan bagi pembinaan projek berasaskan Sistem Pembinaan Industri (IBS) kepada lima hingga sifar peratus menjelang pembentangan Bajet 2018 pada Oktober ini.

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, pada masa ini cukai jentera IBS dikenakan pada pelbagai kadar dan boleh mencapai hingga 20 peratus.

“Langkah ini menggalakkan penggunaan mesin dan jentera dalam industri pembinaan IBS sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga asing pada masa depan,” katanya pada taklimat media Jabatan Kerja Raya (JKR) Memacu Transformasi Pembinaan Melalui Projek Awam, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah JKR Datuk Seri Ir Dr Roslan Md Taha dan Timbalan Ketua Pengarah Sektor Bangunannya Kamaludin Abdul Rashid.

Beliau berkata, pengurangan cukai itu penting kerana ia membolehkan lebih banyak syarikat membeli mesin dan jentera baru yang bersesuaian dengan IBS kerana pada masa ini keba nyakan syarikat membeli mesin dan jentera terpakai yang lazimnya bermasalah.

“Saya akui ada pengurangan kadar cukai sehingga lima peratus namun ia hanya membabitkan sebahagian mesin dan jentera IBS saja. Oleh itu, saya berharap pengurangan kadar cukai ini meliputi lebih banyak mesin dan jentera IBS,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan berhasrat menjadikan IBS keperluan mandatori kepada pemaju hartanah swasta dan diberikan tempoh peralihan tiga tahun bermula tahun ini bagi memastikan pelaksanaan sistem pembinaan mengikut standard baik, sekali gus membantu mengawal harga rumah di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 3:41 AM