Syanty Octavia Amry

Lama tidak muncul di televisyen, pengacara popular Datuk Aznil Nawawi, 52, mengakui rindu untuk mengendalikan sebuah program yang tidak dilakukan oleh ramai orang.

Namun, itu semua hanyalah impian apabila selama beberapa hari dia berada di Cannes menyaksikan program televisyen di sana baru-baru ini, kebanyakannya sudah pernah ditayangkan.

Bagi melepaskan rindunya, sesekali dia muncul dalam program bual bicara Apa Kata Malaysia dan terbaru program masakan Menantu vs Mentua.

Bertemu personaliti yang lebih mesra disapa Pak Nil ini, dia mengakui banyak program yang sudah dijayakannya sebelum ini. Malah, ramai peminat yang meminta program popularnya seperti Tom Tom Bak yang sudah tiga tahun tidak muncul kembali bersiaran di kaca televisyen.

"Saya tahu ramai yang mahukan program Tom Tom Bak disiarkan kembali berikutan maklum balas yang diterima daripada penonton dan ibu bapa begitu memberangsangkan.

"Sebagai percubaan dan mengubat rindu mereka kami siarkan episod khas Tom Tom Bak All Stars di mana program ini memberi sedikit kelainan dengan mengundang beberapa peserta yang pernah terbabit dalam Tom Tom Bak antaranya Elfira Loy dan Hela Monica yang sudah berjaya sebagai pelakon dan penyanyi.

"Jika ia berjaya dan maklum balas diterima bagus mungkin kami akan mempertimbangkan untuk menghasilkan episod baru, Tom Tom Bak.

"Jika tiada, mungkin program yang seumpama ini akan disiarkan yang mana judulnya ialah Anak-Anak Pak Nil," katanya.

Tom Tom Bak All Stars akan bersiaran sebanyak dua episod iaitu pada 21 dan 28 Disember ini, jam 11 pagi di Astro Ceria (saluran 611).

Dalam pada itu, Pak Nil berasa kesal terhadap seorang individu yang menggodam akaun Facebook milknya. Menurut Pak Nil, sudah hampir setahun dia tidak dapat menguruskan akaun berkenaan kerana kata laluannya sudah ditukar.

"Akaun Facebook itu saya daftar enam tahun lalu di mana ketika itu laman sosial berkenaan belum popular lagi.

"Rasa sayang sangat apabila ia digodam kerana kebanyakan peminat saya berkumpul dan mengambil tahu mengenai perkembangan terkini menerusi Facebook berkenaan.

"Saya harap individu yang menggodam itu dapat memulangkan semula kata laluan kepada saya. Kasihan kepada peminat, mereka seperti tertipu apabila melihat individu berkenaan memuat naik status seolah-olah ia adalah saya.

"Lebih mengejutkan lagi, gara-gara salah satu status yang dimuat naik oleh penggodam berkenaan seperti 'ingin mencari bantal kekabu', ada peminat terus menghantarnya ke pejabat saya di Astro.

"Apapun, mujurlah individu itu tidak memuat naik status atau berkongsi maklumat yang tidak senonoh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 5:12 AM