SUKAN rakyat boling kelapa antara yang dicuba peserta ACEQM.
SUKAN rakyat boling kelapa antara yang dicuba peserta ACEQM.
KELENGKAPAN dan cara pemakaian abah-abah menjadi keutamaan saat melakukan aktiviti flying fox.
KELENGKAPAN dan cara pemakaian abah-abah menjadi keutamaan saat melakukan aktiviti flying fox.
FLYING fox zip line membolehkan sesiapa saja melakukan aktiviti meluncur dengan tali dari kawasan tinggi sambil menikmati pemandangan indah.
FLYING fox zip line membolehkan sesiapa saja melakukan aktiviti meluncur dengan tali dari kawasan tinggi sambil menikmati pemandangan indah.
TERPANCAR keseronokan peserta saat berjaya melepasi cabaran berliku di Sungai Kiulu.
TERPANCAR keseronokan peserta saat berjaya melepasi cabaran berliku di Sungai Kiulu.
Recqueal Raimi


Mereka kelihatan hebat di kaca televisyen dan filem tetapi sebaik melihat arus deras dan laluan berbatu di Sungai Kiulu yang bakal diredah dengan rakit, masing-masing kecut perut.

Bagaimanapun, sebaik menamatkan aktiviti itu, kepuasan dan keseronokan terpancar pada raut wajah setiap peserta ASEAN Celebrite Explore Quest Malaysia (ACEQM) yang menyertai Kiulu White Water Rafting di Tuaran, Sabah, baru-baru ini.

Perasaan takut ketika memulakan aktiviti bagaikan dibawa bersama arus sungai yang mengalir.

Saat manis dan keterujaan dirasai tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Itulah penangan ‘white water rafting’, aktiviti berakit yang dikelaskan sebagai antara sukan ekstrem kerana memerlukan peserta melawan arus deras air sungai.

Kiulu White Water Rafting di Tuaran terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu adalah destinasi percutian atau pengembaraan aktiviti lasak yang digemari pencinta sukan lasak.

Kawasan pedalaman dikelilingi keindahan alam semula jadi itu indah itu cukup popular dalam kalangan pelancong luar negara, tetapi belum cukup diketahui penduduk dalam negara.

Dikelilingi pemandangan menakjubkan, penulis sendiri tidak mahu terlepas peluang apabila dipelawa bersama peserta ACEQM menyertai sukan lasak seperti berakit dan zip line (flying fox) berpusat di Riverbung Rangalau Lama, Kiulu, Tuaran.

Bermula di pekan Kiulu, 83 peserta terdiri daripada pelakon, penyanyi, model dan pengurus masing-masing termasuk 33 wakil pelbagai media menaiki rakit melalui Sungai Kiulu ke Riverbug Rangalau Lama.

Satu demi satu kampung dilalui di Sungai Kiulu yang memerlukan keberanian, keyakinan dan kekuatan fizikal peserta mengawal rakit menggunakan pendayung terutama ketika melalui arus sungai yang deras.

Bimbang didatangi ‘kepala air’ menyebabkan perasaan takut dan mendebarkan sepanjang berakit tidak boleh diketepikan. Namun, di sebalik perasaan itu, ia cukup seronok dan mengujakan.

Sepanjang perjalanan, peserta mengambil kesempatan melihat keindahan flora dan fauna di sekitar sungai yang jernih kerana kebanyakan kampung dipenuhi pokok menghijau termasuk sawah padi. Malah, peserta turut berpeluang melihat keindahan Gunung Kinabalu dengan jelas.

Berbeza dengan aktiviti flying fox (terjun kelawar) lain, flying fox zip line membolehkan sesiapa saja melakukan aktiviti meluncur dengan tali dari kawasan tinggi sambil menikmati pemandangan indah termasuk merakam gambar.

Sebelum melakukan sebarang aktiviti, peserta diberi penerangan mengenai langkah menjaga keselamatan bagi mengelakkan sebarang kecelakaan.

Aktiviti lain yang penulis turut sertai ialah abseiling, memanjat tembok (wall climbing), zip line sejauh 320 meter dan aktiviti bertali aras tinggi (high ropes).

Peserta perlu menyeberangi sungai dengan meluncur menggunakan tali sebelum berpindah ke stesen seterusnya dan kembali semula menggunakan kaedah sama.

Sementara itu, peserta ACEQM juga pelakon dan pengacara Shenty Fezliana menyifatkan pengalaman itu secara tidak langsung menguji tahap keberanian dan meningkatkan sifat keyakinan diri.

“Persekitaran di Zip Borneo sangat menenangkan sehingga rasa penat dan tekanan terhadap pekerjaan serta masalah lain dapat dihilangkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 6:11 AM