SUKANEKA di The Kandu, Gopeng, memenuhi waktu riadah pelancong yang ingin mengenali budaya tempatan.
SUKANEKA di The Kandu, Gopeng, memenuhi waktu riadah pelancong yang ingin mengenali budaya tempatan.
BOLING kampung di atas padang rumput menggunakan kelapa sebagai bola menarik perhatian pelancong.
BOLING kampung di atas padang rumput menggunakan kelapa sebagai bola menarik perhatian pelancong.
PESERTA menuruni jeram ketika melakukan aktiviti rakit arus deras di Sungai Kampar, Gopeng.
PESERTA menuruni jeram ketika melakukan aktiviti rakit arus deras di Sungai Kampar, Gopeng.
TAMAN Sukan Lasak Ipoh turut menyediakan kawasan luas untuk sukan paintball.
TAMAN Sukan Lasak Ipoh turut menyediakan kawasan luas untuk sukan paintball.
Teks dan gambar Nor Hanisah Kamaruzaman


Teruja dan gementar. Itulah yang dapat digambarkan ketika melakukan aktiviti berakit arus deras (white water rafting) buat kali pertama.

Penulis berkesempatan mencuba aktiviti lasak yang menaikkan adrenalin itu di Sungai Kampar, Gopeng, Perak, baru-baru ini.

Bagaimanapun, semua peserta yang mencuba aktiviti ini dapat menangani rasa takut terhadap arus deras dan air walaupun tidak tahu berenang.

Rakit berpusing-pusing dan air menyimbah ke muka bagaikan tidak terasa apabila dayung dikayuh secara automatik kerana pada ketika itu setiap peserta menumpukan sepenuh perhatian agar rakit dinaiki tidak terbalik atau terjatuh.

Walaupun jaket keselamatan disediakan, kemungkinan untuk lemas tetap ada jika peserta panik dan gagal mengawal emosi.

Begitupun, di sebalik keseronokan mencuba sukan ekstrem itu, pengunjung turut dapat menghayati keindahan flora dan fauna di kawasan sekeliling, sekali gus menenangkan minda ketika melalui kawasan tanpa jeram.

Bagi yang gemarkan aktiviti ekstrem, aktiviti ‘waterfall abseiling’ atau menakik batu di Air Terjun Ulu Geruntum, Gopeng, pilihan tepat.

Pada ketinggian 15 meter, penulis pada mulanya terasa gayat sambil di dalam hati tertanya-tanya bagaimana untuk berada dalam posisi betul supaya tidak tergelincir kerana batuan di air terjunnya licin.

Beberapa minit berlalu, air deras yang menghempap tubuh bagaikan sudah tidak terasa kerana kekuatan badan sudah fokus kepada tangan yang mengawal pergerakan.

Walaupun kelihatan senang, ia tidak semudah disangka. Rata-rata peserta yang tiada pengalaman dengan aktiviti itu mengambil masa agak lama berbanding purata lima hingga 10 minit untuk turun dari air terjun berkenaan kerana melawan perasaan takut dan cemas masing-masing.

Penulis berkesempatan mencuba aktiviti ‘waterfall abseiling’ bersama peserta Asean Celebrity Explore Quest Malaysia 2015 (ACEQM 2015) selepas menyudahkan aktiviti ‘white water rafting.’

Selebriti tempatan yang menyertai ACEQM 2015, Saz­zy Falak berkata, dia berani mencuba kedua-dua aktiviti ekstrem itu kerana sukakan cabaran.

“Memang sukan lasak seperti ini menguji ketahanan fizikal tapi saya sukakan cabaran menyebabkan ia tidak menjadi masalah kepada saya.

“Bagaimanapun, saya agak gementar melakukan ‘water abseiling’ kerana memerlukan ketahanan fizikal terutama pada bahagian tangan. Saya lebih menikmati aktiviti berakit sebab lebih menyeronokkan,” katanya.

Aktiviti diteruskan dengan mengunjungi Taman Sukan Lasak Ipoh (Ipoh Extreme Park) di Sunway City.

Pertama kali berkunjung ke taman itu, penulis berkesempatan mencuba beberapa permainan untuk mengeluarkan peluh seperti paintball.

Aktiviti yang memerlukan konsentrasi dan kecergasan peserta ini pasti tidak menjemukan selain dapat beriadah.

Kami turut berkesempatan mencuba perlumbaan kereta go kart bersama peserta ACEQM 2015 selain aktiviti lain seperti golf, memanah, berbasikal, bermain kasut roda dan menunggang motosikal mini.

Namun, bagi yang gemarkan aktiviti lebih santai, sukan rakyat atau sukan kampung pastinya menjadi pilihan.

Acara boling kelapa menjadi tumpuan kerana buah kelapa tua dijadikan bola manakala botol air menggantikan pin boling pastinya lebih santai.

Mencuba permainan itu bukan saja membuatkan kami terasa seperti pulang ke kampung, tapi juga dapat memperkenalkan sukan tradisional itu kepada peserta dari luar negara.

Peserta ACEQM 2015 yang terdiri daripada selebriti dan wakil media dari negara Asia Tenggara teruja ketika mencuba permainan ini selain dapat mengenali budaya masyarakat tempatan.

Peserta dari Filipina Ian Garcia berkata, sukan kampung ini bukan saja aktiviti menyihatkan tapi pada masa sama dia dapat mengenali budaya penduduk Malaysia.

“Saya sukakan aktiviti kampung seperti ini kerana bukan saja dapat bersantai malah saya juga dapat mengenali Malaysia dengan lebih mendalam,” katanya.

Aktiviti itu dimeriahkan dengan kehadiran penghuni Rumah Anak Yatim Darul Hikmah, Gopeng.

Aktiviti penutup pada sebelah malam diserikan dengan majlis ‘bersanding’ selebriti dari Laos dan Myanmar bagi mempamerkan istiadat perkahwinan orang Melayu.

Bukan hanya mempelai lelaki dan perempuan teruja, malah semua peserta ACEQM 2015 seronok kerana seakan berada di kenduri kahwin sebenar.

Peserta luar negara turut diberi peluang menepung tawar dan dihadiahkan bunga telur bagi melengkapkan pengalaman itu.

Wakil media dari Brunei, Khal Bahrulalam berkata, majlis ‘perkahwinan’ ini cukup menarik untuk memperkenalkan budaya Malaysia kepada pelancong luar.

“Saya jarang dapat lihat bagaimana orang di sini mengadakan majlis perkahwinan. Acara seperti ini peluang terbaik untuk mengenali budaya Malaysia,” katanya.

Aktiviti sukan kampung dan persandingan diadakan di homestay The Kandu yang terletak berdekatan Gua Kandu, Gopeng.

Semua aktiviti dan lokasi persinggahan di Perak itu dipilih sebagai usaha Tourism Malaysia mempromosi Malaysia dan percutian tempatan kepada pelancong dari negara Asia Tenggara sempena Persidangan ASEAN, akhir tahun lalu.

Antara artis tempatan yang turut serta ialah Saz­zy Falak, Nazril Idrus dan Amy Wang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 5:00 AM