BERSAMA ibu dan ayah yang memberi inspirasi untuk serius dalam bidang sajian makanan dan minuman.
BERSAMA ibu dan ayah yang memberi inspirasi untuk serius dalam bidang sajian makanan dan minuman.
Zaitie Satibi

Membesar dalam keluarga pengendali restoran, pendedahan dia terhadap bidang sajian makanan bermula pada usia yang sangat muda.

Sering melihat ibu bapanya menyediakan pelbagai juadah untuk jualan, ia mendatangkan minat kepada Muhammad Luqman Halim, 28, terhadap masakan dan mula belajar asas memasak daripada ibu bapanya.

“Ketika saya kecil, bapa, Halim Hassan, 62, pesara tentera membuka restoran menjual masakan panas.

“Pada peringkat awal, bapa mengupah tukang masak bagi menyediakan pelbagai hidangan di restoran di Sungai Buloh, Selangor.

“Disebabkan tukang masak yang tidak kekal dan sering bertukar sehingga menjejaskan operasi restoran menyebabkan bapa belajar memasak.

“Bapa dibantu ibu saya, Robani Md Akhir, 52, yang sama-sama belajar memasak untuk menyediakan hidangan kepada pelanggan.

“Mereka berbuat demikian kerana tidak mahu lagi menanggung risiko sekiranya tukang masak tiba-tiba tidak datang kerja,” katanya.

Bagaimanapun, bapa Muhammad Luqman tidak dapat meneruskan operasi restoran kerana terpaksa dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan.

Ini memaksa mereka sekeluarga berpindah ke Jitra, Kedah dan memulakan kehidupan baru.

“Ketika saya bersekolah tingkatan empat, bapa menutup perniagaan restorannya.

“Dia kemudian membawa kami sekeluarga pulang ke kampung halamannya dan membuka perniagaan berkaitan keselamatan.

“Bapa melupakan terus bidang sajian makanan, tetapi tidak bagi saya kerana ia sudah sebati dalam jiwa.

“Perkara itulah yang membuatkan saya berkobar-kobar mendalami bidang masakan dan bertekad membuka restoran sendiri satu hari nanti supaya dapat mencipta semula kenangan sewaktu kecil.

“Bagi merealisasikan impian itu, saya melanjutkan pengajian dalam seni kulinari di sebuah kolej.

“Sebaik menamatkan pengajian, saya letakkan sasaran untuk menjadi seorang jurumasak.

“Namun demikian, saya sedar untuk berjaya bukan sesuatu yang mudah dan segulung sijil saja tidak cukup.

“Saya kemudian bekerja di beberapa hotel sebagai pembantu jurumasak dan belajar selok-belok penyediaan sajian,” katanya yang mahir dalam penyediaan masakan Barat.

MUHAMMAD Luqman pada awal pembabitan dalam bidang kulinari.
MUHAMMAD Luqman pada awal pembabitan dalam bidang kulinari.

Luqman berkata, dia juga menimba pengalaman bekerja di kafe dan syarikat perkhidmatan katering.

Selepas lapan tahun bekerja di pelbagai premis makanan ,dia membuka restoran dinamakan Chillex Concept Cafe yang menyediakan sajian Barat dan makanan tempatan.

“Restoran yang dibuka pada 2015 di Seri Iskandar, Perak, mengetengahkan konsep ‘urban cafe’ iaitu gaya yang menjadi ikutan pada masa ini.

“Saya mewujudkan suasana kedai yang memberi pelanggan pengalaman menjamu selera bukan saja selesa, malah unik sehingga mereka akan kembali semula.

“Selain mencipta menu sendiri makanan berkonsep hipster, saya juga menata rias ruang restoran dengan seni mural dinding sebagai tarikan kepada pelanggan.

“Malah, saya juga beruntung apabila dibantu isteri, Nor Syafiezan Muhamad Fauzi, 26, yang juga mahir memasak serta menyediakan makanan dan minuman di restoran ini,” katanya.

Luqman juga berhasrat menambah cawangan restorannya dan dalam perancangan ke arah berkenaan, dia melatih tiga adiknya, Nor Atiqah, 23, Siti Fatimah, 21 dan Muhammad Irfa, 18, dalam bidang sajian makanan serta pengurusan perniagaan supaya masing-masing dapat membantu dalam operasi restoran baru kelak.

“Memasak sesuatu yang menyeronokkan dan banyak yang boleh dipelajari. Dalam waktu bekerja, pelbagai pengalaman saya pelajari dan antaranya ialah untuk menerokai kebolehan diri sendiri dan cara untuk bergaul dengan orang ramai.

“Sebagai jurumasak tidak semestinya kita hanya memasak, kita perlu juga bermesra dengan pelanggan dan menambat hati mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 12:15 AM