(Dari kiri) Abdul Haris, Anoma Vongyai, Raja Sa'adi dan Monrudee Gettuphan ketika pelancaran laluan ketiga Malindo Air ke Thailand di Phuket, hari ini. FOTO Garret Dawum
(Dari kiri) Abdul Haris, Anoma Vongyai, Raja Sa'adi dan Monrudee Gettuphan ketika pelancaran laluan ketiga Malindo Air ke Thailand di Phuket, hari ini. FOTO Garret Dawum
Garret Dawum


Phuket: Malindo Air memperkenalkan laluan ketiga ke Thailand dengan melancarkan penerbangan harian antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket (HKT) di sini, hari ini.

Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi Malindo Air Raja Sa'adi Raja Amrin berkata, penambahan laluan terbabit selepas Bangkok dan Chiang Mai adalah pelan untuk meningkatkan laluan ke 41 destinasi di 13 negara.

"Penerbangan itu menggunakan pesawat dengan kod OD 540 dan OD 541 akan terbang empat kali seminggu iaitu pada Rabu, Khamis, Jumaat dan Sabtu.

"Pesawat akan berlepas dari KLIA pada 2.45 petang dan dijangka tiba di Phuket pada 3.10 petang waktu tempatan, manakala penerbangan balik dari Phuket adalah pada 3.55 petang dan dijangka tiba di KLIA pada 6.25 petang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia di Bangkok Abdul Haris Hadi, Pengarah Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) Anoma Vongyai dan Pengurus Besar HKT Monrudee Gettuphan.

Sementara itu, Raja Sa'adi berkata, promosi tambang bagi laluan baru itu bermula serendah RM139 sehala bagi kelas ekonomi dan RM599 bagi kelas perniagaan termasuk faedah seperti elaun bagasi, hiburan dan hidangan ringan.

"Penambahan laluan penerbangan itu dijangka dapat meningkatkan lagi kemasukan pelancong di dua negara.

"Perkhidmatan disediakan juga dapat merangsang pertumbuhan perniagaan dan perdagangan dengan peningkatkan trafik pelancongan antara Malaysia dan Thailand," katanya.

Ketika penerbangan pertama hari ini, seramai 89 penumpang dan empat anak kapal termasuk juruterbang serta pembantunya menaiki pesawat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 8:13 PM