RAJA Sa'adi (tengah) bersama (dari kiri) Pengarah Lembaga Pelancongan Malaysia, Abdul Hadi Che Man; Duta Besar Malaysia di Vietnam, Zamruni Khalid; Timbalan Pengerusi VNAT, Ngo Hoai Chung; dan Pengarah Pengangkutan Udara-CAAV, Ho Quoc Cuong ketika sidang media di Hanoi. FOTO Norizuan Shamsuddin

PESAWAT Malindo Air OD 571 diberi penghormatan ketika pendaratan sulung di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi. FOTO Norizuan Shamsuddin
PESAWAT Malindo Air OD 571 diberi penghormatan ketika pendaratan sulung di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi. FOTO Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin

Hanoi: Malindo Air memperkenalkan laluan kedua ke Vietnam dengan melancarkan penerbangan harian antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai (HAN), di sini, hari ini.

Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi Malindo Air, Raja Sa'adi Raja Amrin berkata, penambahan laluan terbabit selaras dengan pelan untuk meningkatkan laluan ke 40 destinasi di 13 negara.

Laluan ke Hanoi ini adalah yang kedua ke negara ini selepas Ho Chi Minh City.

Katanya, penerbangan menerusi pesawat kod OD 571 terbabit bermula hari ini dan akan berlepas setiap hari dari KLIA pada 9.15 pagi dan dijangka tiba di Hanoi pada 11.15 pagi waktu tempatan.

"Manakala penerbangan balik dari Hanoi adalah pada 12.15 tengah hari dan dijangka tiba di KLIA pada 4.35 petang.

"Promosi tambang bagi laluan baru itu bermula serendah RM209 sehala bagi kelas ekonomi dan RM1,109 bagi kelas perniagaan termasuk faedah seperti elaun bagasi, hiburan dan hidangan ringan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, penambahan laluan penerbangan itu dijangka dapat meningkatkan lagi kemasukan pelancong di dua negara terbabit.

"Perkhidmatan disediakan juga dapat merangsang pertumbuhan perniagaan dan perdagangan dengan peningkatkan trafik pelancongan antara Malaysia dan Vietnam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 6:11 PM