RAJA Sai'di menemani Hasan Malek merasmikan majlis pelancaran penerbangan ke Kemboja. FOTO Norizuan Shamsuddin
RAJA Sai'di menemani Hasan Malek merasmikan majlis pelancaran penerbangan ke Kemboja. FOTO Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin


MALINDO Air melebarkan sayap penerbangannya dengan melancarkan penerbangan harian dari Kuala Lumpur ke Phnom Penh, Kemboja, hari ini.

Pengarah Bahagian Perhubungan Kerajaan Malindo Air, Raja Sa'adi Raja Amrin berkata, penerbangan OD580 akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setiap hari pada 8 pagi bermula hari ini dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh (PPIA) pada 8.55 pagi (waktu tempatan).

Manakala penerbangan OD581 pula akan berlepas dari PPIA pada 9.45 pagi (waktu tempatan) dan tiba di KLIA pada 12.35 tengah hari.

"Bagi meneruskan usaha untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab transit, kami melancarkan penerbangan ke Kemboja yang menjadikan negara ke-16 berada dalam rangkaian penerbangan kami.

"Dengan bermulanya laluan baru ini, ia akan menyokong lagi hubungan ekonomi, perniagaan dan pelancongan yang pesat membangun antara Malaysia dan Kemboja," katanya pada sidang media majlis pelancaran penerbangan KLIA-PPIA, Kemboja, hari ini.

Turut hadir Duta Malaysia di Kemboja, Datuk Sri Hasan Malek dan Pengarah Eksekutif PPIA, Eric Delobel.

Raja Sai'di berkata, menerusi penerbangan harian itu, 180 kerusi disediakan termasuk tempat duduk kelas ekonomi dan perniagaan.

Katanya, harga berpatutan turut ditawarkan kepada pelanggan dari RM139.10 sehala bagi kelas ekonomi.

"Manakala harga bagi kelas perniagaan pula bermula dari RM749.10 sehala.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 7:29 PM