KALOU amuk gawang Hertha.
KALOU amuk gawang Hertha.

Berlin: Penyerang Ivory Coast Salomon Kalou meledak hatrik bagi membantu Hertha Berlin menang 3-0 ke atas Borussia Moenchengladbach sekali gus melonjak ke tangga ketiga Bundesliga.

Jaringan bekas penyerang Chelsea dan Lille itu membolehkan Hertha mengekalkan rekod 100 peratus di laman sendiri manakala Gladbach yang turun tiga hari selepas seri dengan Celtic di Liga Juara-Juara, gagal menghasilkan sebarang jaringan sepanjang lima aksi Bundesliga secara berturut-turut.

Mereka gagal mempamer aksi sebenar dan ketinggalan 2-0 dalam tempoh 33 minit sebelum terpaksa beraksi dengan 10 orang apabila Christoph Kramer dilayangkan kad merah, lima minit sebelum rehat.

Kalou membuka jaringan selepas 18 minit apabila menanduk masuk hantaran lintang Mitchell Weiser dan ia adalah gol pertamanya musim ini.

Dia menambah gol kedua ketika permainan memasuki suku kedua apabila bola cuba dikeluarkan pertahanan lawan, singgah di kakinya.

Kramer dikenakan kad merah kerana mengasari Fabian Lustenberger. Sebelum itu dia sudah dilayangkan kad kuning atas kekasaran terhadap Weiser.

Kalou melengkapkan hatrik ketika permainan berbaki lima minit hasil hantaran Weiser. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2016 @ 5:09 AM