KALOU (dua dari kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. -Foto Reuters
KALOU (dua dari kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. -Foto Reuters

BERLIN: Salomon Kalou meranapkan impian Hamburg apabila masuk daripada bangku simpanan dan menyumbat gol bagi membantu Hertha Berlin menang 2-1 dalam aksi Bundesliga, awal pagi tadi.

Hamburg memulakan perlawanan dengan baik apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-25 menerusi serangan balas pantas Douglas Santos.

Bagaimanapun, Hertha berjaya memecah kebuntuan pada 10 minit selepas babak kedua berlangsung menerusi jaringan Valentino Lazaro yang memanfaatkan hantaran Marvin Plattenhardt.

Selepas dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-60, Kalou yang juga bekas pemain Chelsea meledak gol kemenangan pelawat tiga minit kemudian untuk membawa pulang tiga mata berharga buat Hertha.

“Hamburg bermula dengan baik dan mempunyai 45 minit pertama yang cukup bagus,” kata Kalou. “Tetapi kami pasukan lebih kuat pada babak kedua.”

Sementara itu, jaringan sendiri Robin Knoche pada lewat permainan membantu Schalke meraih kemenangan 1-0 ke atas Wolfsburg.

Kemenangan itu menyaksikan Schalke berjaya menghalang Bayern Munich daripada mengesahkan kejuaraan Bundesliga lebih awal apabila mereka dijadual menentang Leipzig, malam ini.

Bayern ketika ini memiliki kelebihan 17 mata tatkala berbaki 10 perlawanan liga.

Sekalipun memperoleh penalti, kegagalan Paul Verhaegh untuk menewaskan penjaga gol Schalke, Ralf Faehrmann jelas memberi padah buat tuan rumah.

“Kami bermain dengan baik tetapi gagal menyempurnakan penalti dan melepaskan gol,” kata Knoche. “Jelas ia mengecewakan dan saya memohon maaf bagi pihak pasukan.” - AFP

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 3:30 PM