AHMAD Bashah (tengah) bersetuju menggandakan habuan kepada pemain Kedah. FOTO/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
AHMAD Bashah (tengah) bersetuju menggandakan habuan kepada pemain Kedah. FOTO/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Firdaus Hashim

DURIAN runtuh sekali ganda berbanding musim lalu menanti pasukan Kedah jika anak buah Nidzam Adzha Yusoff berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia apabila bertemu Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dalam final yang di Stadium Shah Alam, malam ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, ganjaran lumayan sebanyak RM50,000 bakal diberikan kepada setiap pemain selain turut mengumumkan pemberian cuti peristiwa seandainya misi memburu kemenangan berjaya.

“Kita sudah bersetuju untuk memberi bonus kepada pemain tahun ini seperti yang berlaku pada musim lalu di mana RM25,000 diberikan atas kejayaan menang Piala Malaysia.

“Tapi kita tahu kesungguhan semua pemain yang sudah memberikan sepenuh komitmen dan sekiranya malam ini kita berjaya (menang), pihak pengurusan bersetuju untuk ‘double up’ kepada RM50,000,” katanya ketika ditemui pada majlis makan tengahari bersama pasukan di sini, hari ini.

Menerusi pengumuman itu, ia menyaksikan skuad Helang Merah menjadi pasukan tunggal yang menjanjikan ganjaran lumayan selepas skuad Harimau Selatan tidak menyediakan sebarang insentif sekiranya juara Liga Super itu berjaya menjulang trofi berprestij itu buat pertama kali.

“Kita yakin mempertahankan Piala Malaysia ini dan kalau kita menang, esok kita istiharkan cuti umum satu hari,” kata Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah.

Pada masa sama, Ahmad Bashah turut menyeru semua penyokong Kedah agar mengenepikan seketika dakwaan-dakwaan tidak berasas yang dilontarkan sesetengah pihak kepada pengurusan KFA, sebaliknya menyeru supaya memberi sokongan padu kepada Helang Merah.

“Lupakan cerita yang kurang elok pasal pasukan Kedah. Pemain atau penyokong tak perlu menghiraukannya kerana itu boleh menganggu fokus kita menjelang aksi final nanti. Apa yang penting, kita mahukan kemenangan untuk dihadiahkan kepada penyokong yang banyak sentiasa menyokong kita selama ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 3:48 PM