Suzalina Halid

Alor Setar: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan ganjaran kepada skuad Kedah yang berjaya memperoleh tempat ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia musim ini.

Pasukan Kedah bimbingan Tan Cheng Hoe layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia selepas menang 5-0 ke atas Negeri Sembilan dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Darul Aman, dekat sini, malam tadi.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pihaknya amat berbangga dengan prestasi ditunjukkan skuad Helang Merah pada aksi malam tadi yang disifatkan cukup baik.

"Ganjaran itu akan selalunya dipertimbangkan kerana jika lazimnya ada ganjaran yang diberi sebelum ini kita akan sediakan perkara sama kalau itu yang dibuat KFA.

"Saya selaku presiden akan terus bagi komitmen namun yang penting pemain kena terus memastikan kejayaan menjadi milik mereka dan imbuhan itu kalau sebelum ini disediakan kita akan bagi, " katanya kepada pemberita, di sini, hari ini

Terdahulu, Ahmad Bashah mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim untuk berangkat ke Kuala Lumpur.

Helang Merah akan menentang pasukan PDRM pada perlawanan separuh akhir Piala Malaysia, hujung bulan ini.

Mengulas mengenai pertemuan itu kelak, Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar berkata, beliau mahu semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan pemain dibawa pada perlawanan nanti, sekali gus membolehkan Kedah menempah tempat ke peringkat seterusnya.

"Kita berdoa supaya pemain akan terus bersemangat dan peminat pula tetap bagi sokongan supaya tahun ini kita dapat sesuatu (piala) untuk dibawa balik ke Kedah, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 3:27 PM