IMPAK emosi paling membimbangkan ialah hilang kawalan cara jalani kehidupan harian.
IMPAK emosi paling membimbangkan ialah hilang kawalan cara jalani kehidupan harian.

Ketidakmampuan untuk hamil boleh menghancurkan harapan dan memberi tekanan kepada pasangan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), infertiliti atau ketidaksuburan ditakrifkan sebagai kegagalan untuk hamil selepas menjalani hubungan kelamin tanpa perlindungan secara kerap selama 12 bulan atau lebih.

Walaupun kemajuan dalam teknologi bantuan reproduktif seperti persenyawaan in vitro (IVF) memberi harapan kepada pasangan yang tidak subur, kesan psikologi daripada ketidaksuburan selalunya kurang diberi perhatian. Sesetengah pesakit menganggap penilaian dan rawatan ketidaksuburan sebagai pengalaman paling dahsyat dalam kehidupan mereka.

Bagaimana infertiliti menjejaskan kehidupan?

l Harga diri

Pembiakan merupakan keperluan manusia yang sangat penting. Oleh itu, pasangan yang tidak boleh mendapat anak berhadapan dengan tekanan dan penderitaan psikologi (malu, kesal, bersalah, murung, bimbang, rasa tidak berguna).

Kesan emosi ketidaksuburan yang paling membimbangkan ialah hilang kawalan terhadap cara menjalani kehidupan harian. Kebanyakan pasangan menjadikan fokus utama dalam tugasan harian dan acap kali terpaksa menangguhkan kehidupan mereka. Usaha untuk mengatasi ketidaksuburan kadangkala boleh menghakis harga diri dan memakan masa lama serta menjadi lebih sukar bagi mereka yang tidak mahir dalam mengatasi kegagalan dan kehilangan.

l Perhubungan Hubungan mungkin terjejas bukan sahaja di antara pasangan, tetapi juga dengan keluarga dan kawan. Hubungan menjadi renggang disebabkan rasa takut pasangan yang subur mungkin meninggalkan pasangan yang tidak subur. Tekanan kesan daripada proses penilaian dan rawatan menyukarkan pasangan untuk memberi sokongan emosi.

Keperluan untuk mengadakan hubungan kelamin pada masa tertentu juga merupakan faktor yang mengganggu kebahagiaan perkahwinan. Seks menjadi satu tugasan pula dan ini memberi kesan kepada kemesraan pasangan.

Hubungan bersama kawan dan keluarga juga mungkin terjejas. Anda mungkin berasa tersinggung untuk menjawab soalan yang akan ditanya mereka. Dalam keadaan ekstrem, pasangan terpaksa menyisihkan diri dan berhenti daripada menghadiri majlis sosial yang turut dihadiri kanak-kanak.

l Kesihatan

Proses penilaian mengambil masa yang lama, bermula dari ujian darah yang mudah hingga ke prosedur invasif. Hasil pemeriksaan mungkin mendedahkan masalah perubatan yang menyumbang kepada punca infertiliti. Ia sering kali mengejutkan pasangan kerana secara umumnya mereka sihat.

Walaupun intervensi perubatan memberi harapan dan rawatan berkesan, ia boleh menambahkan lagi stres, kebimbangan dan kesedihan yang dirasai disebabkan infertiliti. Jika satu kitaran rawatan itu gagal, hampir semua pasangan dilaporkan mengalami kemurungan yang akut.

l Kewangan

Kos rawatan bagi merawat ketidaksuburan adalah tinggi. Mungkin ada yang kurang berkemampuan untuk membayar harga rawatan dan ini boleh menyumbang kepada perasaan ketidakupayaan dan akhirnya, putus asa. Jika pun mampu, beban kewangan ini tidak boleh dipandang ringan.

Kaedah mengendalikan ketidaksuburan

l Menerima ketidaksuburan

Beban psikologi ketidaksuburan sudah disahkan dan mengesan masalah berkenaan adalah langkah pertama dalam merealisasikan impian untuk menjadi ibu bapa. Menerima hakikat bahawa anda tidak subur adalah kunci untuk mengatasinya agar pasangan boleh maju ke hadapan dan mendapatkan nasihat profesional seterusnya mencuba dan berusaha mengatasinya.

l Jangan menyalahkan diri atau pasangan Menyalahkan pasangan boleh memusnahkan hubungan dan tidak mendatangkan faedah. Jangan terperangkap dengan corak pemikiran negatif yang hanya akan memburukkan keadaan. Daripada memikirkan ‘apa yang sepatutnya’ atau ‘apa yang mungkin’ berlaku, lebih baik tumpukan kepada apa yang ‘boleh’ dilakukan.

l Beri masa bersedih dan benarkan pasangan anda untuk turut bersedih - Setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk mengatasi tekanan emosi. Paling penting, mesti saling bersabar dan bertoleransi. Kesedihan yang tidak diatasi adalah punca utama keresahan.

l Berkomunikasi dengan pasangan

Dalam tempoh yang mencabar ini, penting untuk anda saling menyokong dan bekerja sebagai satu pasukan. Cara lelaki dan wanita bertindak balas kepada tekanan ketidaksuburan adalah berbeza. Maklumkan kepada pasangan bagaimana anda ingin dibantu dan bersepakat mencari jalan praktikal agar sama-sama memikul bebannya.

l Memahami infertiliti - Pelajari mengenai masalah kesuburan dan bertanyakan kepada doktor. Salah satu punca stres ialah masa depan yang tidak menentu. Mengumpul banyak maklumat dan berbicara dengan orang lain yang sedang mengalami masalah infertiliti boleh membantu pasangan membuat pilihan berdasarkan fakta. Kumpulan sokongan juga boleh menjadi tempat yang baik untuk mempelajari dan mendapatkan maklumat mengenai rawatan selain membina persahabatan baharu.

l Jaga kesihatan dan teruskan minat yang lain

Kajian menunjukkan individu yang mengamalkan diet sihat digabungkan dengan aktiviti fizikal secara tetap, mempunyai peluang lebih tinggi untuk mendapat kehamilan yang berjaya selepas dirawat. Rawatan ketidaksuburan yang sedang dilalui mungkin akan memakan banyak masa, maka penting untuk anda meneruskan hobi yang menyeronokkan.

l Kekal realistik Pasangan harus sedar, tidak kira betapa banyak mereka berusaha untuk hamil dan betapa maju teknologi bantuan yang digunakan, tiada siapa boleh menjamin kejayaan mendapat bayi. Pasangan perlu belajar untuk mengimbangi optimisme dan realisme.

l Tetapkan bajet anda Tidak diragui bahawa rawatan ketidaksuburan akan membebankan kewangan anda dan sering kali wanita terpaksa melalui beberapa kitaran rawatan sebelum berjaya untuk hamil. Pasangan yang sedang memikirkan untuk mendapat rawatan harus merancang perbelanjaan mereka.

l Bangkitkan kerohanian anda Kebanyakan orang mendapat ketenangan jiwa dengan mendalami agama. Ada juga yang lebih suka berdoa atau bertakafur bersendirian. Kepercayaan boleh menjadi alat yang sangat kuat untuk membimbing anda kembali ke pangkal jalan dan menemui semula tujuan hidup.

Impak psikologi infertiliti amat berat. Namun begitu, pulangannya amat bernilai sekiranya pasangan boleh mengatasi halangan dan cabaran. - Dr Tan Chong Seong Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi

l Artikel ini adalah sumbangan program Pengasuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kolaborasi bersama rakan kongsi pakar: Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, Persatuan Tadika Malaysia dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia. Pendapat dalam artikel ini adalah pandangan penulis. Bagi maklumat lanjut dan membaca majalah-e Pengasuhan Positif, layari www.mypositiveparenting.org.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2016 @ 5:42 AM