RESTORAN Crystal Steakhouse & Pizzeria sangat popular dengan makanan halal.
RESTORAN Crystal Steakhouse & Pizzeria sangat popular dengan makanan halal.
LOKASI ikonik Amsterdam iaitu Iamsterdam Letters dipenuhi pengunjung untuk mengambil gambar berlatarbelakangkannya.
LOKASI ikonik Amsterdam iaitu Iamsterdam Letters dipenuhi pengunjung untuk mengambil gambar berlatarbelakangkannya.
PUSAT maklumat pelancong Iamsterdam di hadapan Amsterdam Centraal menjadi tumpuan pelancong untuk mendapatkan Iamsterdam City Card.
PUSAT maklumat pelancong Iamsterdam di hadapan Amsterdam Centraal menjadi tumpuan pelancong untuk mendapatkan Iamsterdam City Card.
AMSTERDAM Centraal menjadi hab pengangkutan utama di kota itu.
AMSTERDAM Centraal menjadi hab pengangkutan utama di kota itu.
Rosyahaida Abdullah


Bergantung pada cita rasa masing-masing, setiap individu yang pernah ke Amsterdam pasti memiliki pandangan tersendiri mengenai keistimewaan ibu negara Belanda ini.

Penggemar bunga mungkin terus terpikat pada keunikan warna-warni tulip yang mekar di ladang pinggir kota menjelang April saban tahun. Malah di Amsterdam sendiri, terdapat muzium yang boleh dilawati untuk melihat spesies bunga lili terbabit secara lebih dekat.

Peminat sejarah pula akan mengaitkan Amsterdam dengan lokasi penulis diari, Anne Frank bersembunyi ketika Perang Dunia Kedua, yang mana lokasi itu kini dijadikan muzium untuk lawatan umum.

Bagi penulis, bukan hanya tulip atau peristiwa Anne Frank sebaliknya hampir semuanya berkaitan Amsterdam akan tersemat rapi dalam ingatan, malah inilah antara kota terbaik di Eropah yang pernah dikunjungi penulis.

Realitinya, kelainan Amsterdam sudah pun dirasai seawal mendarat di Lapangan Terbang Amsterdam Schiphol lagi. Mana tidaknya, meskipun dibina di atas tanah paya yang ditebus guna selain terletak lima meter bawah aras laut, tiada apa yang kurang dengan lapangan terbang ini. Malah ia setanding lapangan terbang antarabangsa lain yang pernah penulis jejaki.

Dibangunkan dengan konsep terminal besar tunggal yang dibahagikan kepada tiga balai pelepasan, penulis diberitahu lapangan terbang utama Belanda ini tersenarai sebagai lapangan terbang kelima tersibuk di Eropah dan ke-14 di dunia pada tahun lalu.

Berbicara pula mengenai pusat bandarnya, ia terletak kira-kira 20 minit perjalanan menaiki tren dari lapangan terbang. Jika di Kuala Lumpur majoriti pelancong kali pertama akan menuju ke Stesen Sentral KL, di Amsterdam pula Amsterdam Centraal adalah tempatnya.

Di hab pengangkutan utama Amsterdam inilah penulis mendapatkan pas tempoh untuk pelancong iaitu Iamsterdam City Card pada harga sekitar RM200 untuk tempoh 72 jam.

Menariknya pas terbabit, selain penggunaan pengangkutan awam tanpa had di seluruh Amsterdam merangkumi tram, tren dan bas, ia juga menawarkan kemasukan percuma ke beberapa lokasi tumpuan pelancong seperti muzium, zoo dan pelayaran terusan atau ‘canal cruise.’

Satu lagi info menarik yang sampai ke telinga penulis adalah, di Amsterdam sahaja terdapat lebih 100 muzium yang menjadi tarikan pelancong saban tahun manakala taman haiwan di Amsterdam yang dikenali sebagai Artis pula antara zoo tertua di Eropah yang turut dihuni hidupan akuatik serta mempunyai planetarium.

Tentunya semaksimum mungkin pas terbabit dimanfaatkan penulis untuk berkunjung ke lokasi tarikan yang tersenarai dalam tempoh empat hari tiga malam berada di kota itu.

Melihat kepada sekurang-kurangnya 10 muzium yang tersenarai dalam pas terbabit untuk kemasukan secara percuma selain pelbagai tarikan lain, terasa mustahil untuk menghabiskan kunjungan ke semua lokasi.

Dengan masa yang suntuk, cuma Muzium Van Gogh sempat dikunjungi usai bergambar di Iamsterdam Letters, lokasi ikonik Amsterdam yang terletak cuma 50 meter dari situ dan umpama kewajipan setiap pelancong untuk bergambar berlatarbelakangkannya.

Sebelum ini, penulis cuma mengenali Van Gogh sebagai pelukis terkenal dari Eropah namun sebaik mengunjungi muziumnya, barulah penulis tahu Van Gogh hanya mengecapi populariti selepas kematiannya, dan sepanjang hayatnya juga hanya satu karya lukisan miliknya terjual.

Satu lagi muzium yang tersenarai dalam pas tempoh adalah Muzium Tulip Amsterdam, muzium yang pastinya menggamit perhatian pelancong untuk dilawati.

Malangnya hasrat melihat tulip sebenar tidak kesampaian disebabkan hari yang penulis kunjungi jatuh pada hari muzium ditutup untuk lawatan.

Bagi Anne Frank House pula, meskipun muzium ini tidak tersenarai untuk pemegang Iamsterdam City Card, bayaran masuk RM60 seorang sangat berbaloi bagi melihat tempat persembunyian asal remaja Yahudi, Anne Frank dan keluarganya daripada askar Nazi ketika Perang Dunia Kedua pada 1940-an.

Selama lebih dua tahun bersembunyi di bilik rahsia di dalam bangunan terbabit, Anne Frank meluahkan rasa hatinya menerusi diari, namun dia bagaimanapun terkorban dalam peperangan itu manakala diari terbabit dijumpai tidak lama kemudian sebelum dibukukan.

Jika dibelek gambar Amsterdam menerusi Internet, paling banyak didapati adalah terusan. Sememangnya terusan diwujudkan di kota itu berselang-seli dengan beberapa barisan blok bangunan bagi mengimbangi kedudukan daratan kota Amsterdam yang lebih rendah daripada paras laut.

Terusan ini juga menjadi jalan air buat penduduk yang mana ia tidak sahaja dilalui bot persendirian malah bot pesiaran turut membawa pelancong mengelilingi bandar melaluinya.

Sempat juga penulis mengikuti satu trip canal cruise yang disediakan secara percuma menggunakan pas Iamsterdam City Card berkenaan untuk menghayati panorama Amsterdam dari sisi berbeza.

Penulis juga berkesempatan mengunjungi Artis, zoo utama di Belanda yang menghimpunkan pelbagai spesies haiwan.

Berbeza berbanding zoo yang pernah dilawati, zoo ini sangat luas bukan sekadar mempunyai haiwan spesies darat, air dan terbang malah turut dilengkapi taman riadah untuk pengunjung berkelah sementara mengumpul tenaga untuk berjalan semula.

Antara perkara yang pastinya diketahui ramai adalah penggunaan basikal secara meluas malah menjadi pengangkutan utama majoriti penduduk Amsterdam.

Betapa ramainya pengguna basikal di Amsterdam, boleh dikatakan hampir setiap sudut bangunan dan penghadang terusan ada saja basikal yang diletakkan di situ.

Malah berbanding deruan enjin dan hon kenderaan yang kerap didengari di kota besar, Amsterdam menjanjikan bunyi loceng basikal oleh penunggangnya yang barangkali memberi isyarat kepada pejalan kaki atau penunggang basikal lain.

Melihat situasi terbabit, tidak hairanlah penulis begitu teruja ketika saat kali pertama bernafas di kota itu, udaranya sungguh segar jika dibandingkan dengan kota lain sekitar Eropah yang pernah dilawati sebelum itu.

Selain basikal dan bot di terusan, tram juga tidak kurang popular sebagai pengangkutan pilihan di Amsterdam khususnya untuk jarak dekat.

Turut menjadi pengangkutan utama buat penulis sepanjang di sana, didapati ada stesen yang jaraknya cuma sekitar 200 meter dari stesen sebelumnya namun tentulah penulis memilih untuk berjalan kaki bagi melihat-lihat kawasan sekitar.

Walau ke mana pun kita melancong, perut perlu diisi justeru bagi pengunjung Islam, perkara yang menjadi tanda tanya adalah makanan halal.

Sepanjang kunjungan penulis, terdapat satu restoran yang cukup meninggalkan kesan bukan kerana lokasi strategik dan harganya yang berpatutan sahaja malah disebabkan rasanya cukup menambat selera bagi hidangan halal di negara di mana sumber makanan halal agak terhad.

Dikenali sebagai Crystal Steakhouse & Pizzeria, restoran ini terletak di kawasan tumpuan utama Amsterdam iaitu Leidseplein, lokasi beli-belah utama penduduk bandar itu.

Ia menyediakan makanan berasaskan nasi, sup dan roti termasuk kebab serta hidangan barat seperti piza, pasta dan stik.

Dalam pada itu, penulis juga mencuri sedikit masa sebelum pulang semula ke penginapan di Sloterdijk untuk mengunjungi ‘red light district’, kawasan pelacuran yang diiktiraf kerajaan Belanda sejak 2000.

Di sekitar kawasan ini pengunjung dilarang sama sekali merakam gambar disebabkan pekerja pelacuran cuma berpakaian separuh bogel di tepi premis ketika menggamit pelanggan. Kanak-kanak juga tidak dibenarkan berada di kawasan terbabit.

Satu lagi perkara yang dibenarkan kerajaan Belanda adalah ganja. Oleh itu, ganja dijual secara bebas malah benihnya turut diniagakan kepada umum untuk ditanam sendiri. Ia juga dihasilkan dalam pelbagai bentuk lain termasuk gula-gula lolipop dan kek brownie.

Soal kebersihan usah dikhuatiri. Selain udara segar disebabkan kurangnya penggunaan kenderaan berenjin melainkan tram dan bas dalam bandar itu, persekitarannya cukup dijaga.

Difahamkan, bagi memastikan kota itu kekal bersih, kerajaannya juga pernah memberi bir kepada golongan peminum alkohol sebagai ganjaran membersihkan kota Amsterdam.

Mungkin beberapa perkara seperti menghalalkan pelacuran dan ganja serta memberi ganjaran bir tidak sesuai diamalkan di negara kita sebagai negara Islam, namun banyak perkara lain yang ada di Amsterdam boleh dicontohi.

Misalnya, kecekapan sistem pengangkutan khususnya tram yang menyusuri celahan blok di pusat bandar Amsterdam, tidak sahaja mengurangkan kesesakan lalu lintas malah lebih mesra alam sekitar menerusi kurangnya pencemaran udara.

Tarikan Amsterdam

- Iamsterdam Letters

- Muzium Van Gogh

- Muzium Tulip

- Muzium Houseboat

- Anne Frank House

- Leidseplein

- Pesiaran terusan

- Artis

- Red light district

- Pasar karat Waterlooplein

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 5:02 AM