REVOLVER dipercayai digunakan Van Gogh untuk membunuh diri bakal dilelong di Paris.
REVOLVER dipercayai digunakan Van Gogh untuk membunuh diri bakal dilelong di Paris.
AFP

PARIS: Revolver yang dipercayai digunakan artis seni terkenal, Vincent van Gogh untuk menembak dirinya sendiri bakal dilelong di Paris pada Rabu ini.

Dikenali sebagai ‘senjata paling terkenal dalam sejarah seni’, revolver Lefaucheux tujuh milimeter dijangka mampu mencecah sehingga 60,000 euro (RM281,000).

Pakar percaya pelukis Belanda itu menembak dirinya dengan revolver berkenaan berhampiran perkampungan Auvers-sur-Oise di utara Paris, pada 1890 dan mengalami cedera parah pada dadanya.

Senjata itu ditemui seorang petani pada 1965 di perkampungan sama dan pernah dipamerkan di Muzium Van Gogh di Amsterdam.

Van Gogh meminjam senjata berkenaan dari pemilik rumah penginapan yang ditumpanginya di kampung itu dan meninggal dunia 36 jam kemudian.

Walaupun sebahagian besar ahli sejarah seni bersetuju bahawa Van Gogh membunuh diri, tanggapan itu dipersoalkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, apabila beberapa penyelidik mendakwa artis itu maut akibat ditembak secara tidak sengaja oleh dua lelaki tempatan yang sedang bermain dengan senjata di padang berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 9:58 PM