AZMAN
AZMAN
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menggalakkan penggunaan Industri 4.0 dalam kalangan pemain industri kerana ia memberi lonjakan diperlukan untuk meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat dunia.

Ketua Pegawai Eksek utifnya, Datuk Azman Mahmud berkata, antara kemudahan disediakan MIDA ialah Elaun Modal Automasi (ACA) yang bertujuan menggalakkan penggunaan segera automasi terutama dalam industri berintensifkan buruh.

Katanya, MIDA juga menggalakkan kerjasama industri-akademik dan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang lebih tinggi aktiviti untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti.

“Dengan tumpuan meluas kepada Industri 4.0 dalam Bajet 2019 dan pelancaran Pelan Tindakan Dasar Industri 4.0 yang dikenali sebagai Industry4WRD, kami menjangkakan lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi direalisasikan di Malaysia.

“Di bawah Dana Impak Tinggi MIDA iaitu Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF) dalam bentuk geran padanan bagi menggalakkan lebih banyak aktiviti R&D, pensijilan antarabangsa dan piawaian serta pemodenan kemudahan dan peralatan.

“MIDA setakat ini meluluskan 308 projek dengan pelaburan RM14.7 bilion dengan nilai geran yang diluluskan RM1.51 bilion,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya percaya potongan cukai berganda bagi perbelanjaan berkaitan Skim Latihan Dual Nasional untuk Industri 4.0 dan program berkaitan lain diluluskan MIDA mendorong lebih banyak syarikat melatih atau menaik taraf tenaga kerja mereka dalam aktiviti Industri 4.0.

Menurutnya, MIDA juga menubuhkan Portal i-Insentif di bawah Bahagian Pejabat Penyeragaman dan Penyelarasan Insentif (ICCO).

“Platform ini memberi manfaat dalam membantu inisiatif penilaian semula ini memandangkan portal terbabit pusat sehenti yang menampilkan maklumat mengenai semua insentif di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 12:00 PM