TURAN mampu ambil alih tugas Messi
TURAN mampu ambil alih tugas Messi
AFP

Madrid: Barcelona kehilangan Lionel Messi akibat cedera dan kelibat pemain itu tidak akan dapat dilihat pada aksi menentang Sporting Gijon hari ini sedangkan mereka semakin bergelut untuk mengejar pendahulu La Liga Real Madrid.

Messi mengalami masalah pangkal paha ketika membantu pasukannya seri 1-1 dengan Atletico Madrid kelmarin sehingga mengakibatkan bekas pemain terbaik dunia sebanyak lima kali itu terpaksa diketepikan tiga minggu.

Ketiadaannya pasti menjadi lebih sukar buat Argentina berbanding Barca kerana skuad juara dunia dua kali itu tidak dapat menggunakan khidmatnya untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Paraguay dan Peru.

Bagaimanapun, Barca juga berdepan tiga perlawanan penting dengan aksi menentang Borussia Moenchengladbach pada Liga Juara-Juara minggu depan sebelum bertemu Celta Vigo awal bulan depan.

“Kami semua berharap semoga dia dapat bersama kami. Pasukan pasti lebih kuat dengan adanya Lionel tapi apa yang berlaku ini sesuatu yang tidak dapat dijangka,” kata kapten Barca Andres Iniesta.

“Pasukan kami memenangi gelaran atas bantuan individu sepertinya. Beberapa individu sepertinya sangat berguna dan mereka juga bergerak sebagai satu pasukan.”

Tanpa Messi, dua lagi bintang penyerang Barca iaitu Luis Suarez dan Neymar dijangka memikul tanggungjawab selaku penggempur utama - sama seperti ketika mereka menjaringkan 16 gol sepanjang enam perlawanan liga apabila Messi tidak bermain selama dua bulan musim lalu.

Sergio Busquets turut dikeluarkan pada perlawanan menentang Atletico akibat demam tetapi dia pasti sempat pulih menjelang aksi di Asturias.

Arda Turan menjadi pilihan untuk menggantikan Messi selepas dia berjaya memainkan peranan ketika ketiadaan Neymar sepanjang berlangsungnya Olimpik Rio.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 4:58 AM