AFP

Barcelona: Bintang Uruguay Luis Suarez (gambar) percaya kejayaannya mengubah nasib Barcelona sejak dua musim lalu disebabkan kemampuan menyesuaikan diri dengan corak permainan rakan segandingan, Lionel Messi dan Neymar.

Menjelang pertemuan El Classico menentang Real Madrid awal pagi esok, Suarez menjadi penjaring terbanyak Barca dengan 43 gol dan kelab gergasi Catalan itu berada di landasan terbaik menjulang kejuaraan La Liga, Liga Juara-Juara dan Copa del Rey yang dimenangi sejak kebangkitan Suarez musim lalu.

“La Liga sangat berbeza dengan Liga Perdana,” kata bekas penggempur Liverpool itu yang berpindah ke Sepanyol pada 2014 - tahun pertama yang menyaksikan Barca gagal memenangi piala dalam tempoh enam tahun.

“Semua orang sedar ia berbeza dan apa yang penting anda perlu menjadi diri sendiri, tidak berubah, menerima perubahan serta membiarkan diri anda menyerap beberapa perkara yang dikuasai FC Barcelona. Tapi, apa yang saya paling perlukan ialah keserasian dengan rakan sepasukan,” katanya.

“Saya rasa ini perkara paling utama yang saya capai sejak awal. Semua orang boleh lihat apa yang kami lakukan sekarang,” katanya pada majlis perasmian imej animasi pemain Barcelona termasuk dirinya sebagai lambang kerjasama dengan syarikat Beko.

Barca mengatasi Real Madrid dengan 10 mata sambil berbaki lapan perlawanan dengan aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid serta final Copa del Rey menentang Sevilla bakal menjengah dalam masa terdekat.

Barca melangkah ke perlawanan El Clasico kali ini dengan rekod tidak tewas sepanjang 39 perlawanan sejak Oktober lalu.

Pemain antarabangsa Turki Arda Turan belum pernah kalah sejak menyarung jersi Barca dan dia hanya dibenarkan bermain awal tahun ini selepas melengkapkan penggantungan 12 bulan.

Justeru, Turan yakin Barca akan menjulang gelaran La Liga buat kali keenam dalam tempoh lapan tahun, minggu depan.

“Kami rasa hebat. Kami percaya akan muncul juara dan sehubungan itu terus berusaha keras setiap hari. Kami pasukan terbaik.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 5:05 AM