MESSI
MESSI
AFP

Madrid: Barcelona berpeluang menambah kelebihan kepada sembilan mata di persada La Liga sebelum aksi Liga Juara-Juara menentang Arsenal minggu depan apabila bertandang ke Las Palmas malam ini.

Kelab juara Eropah itu melebarkan rekod tanpa kalah dalam semua pertandingan kepada 31 perlawanan menerusi kemenangan La Liga ketujuh berturut-turut hasil jaringan Lionel Messi dan Luis Suarez selepas menang 3-1 ke atas Sporting Gijon, kelmarin.

Perlawanan itu ditangguh sejak Disember lalu selepas Barca terbabit dengan Piala Kelab Dunia dan kini, anak buah Luis Enrique berpeluang menambah tekanan kepada pesaing utama, Atletico Madrid serta Real Madrid yang berdepan lawan lebih sukar, esok.

“Perjalanan masih jauh dan belum ada yang boleh dianggap selesai,” kata pemain tengah Barca Ivan Rakitic.

“Kami kini perlu menumpukan perhatian kepada perlawanan minggu ini.

“Rekod tanpa kalah itu melonjakkan semangat kami tetapi apa yang penting ialah anda menang pada hujung musim. Kami perlu terus merendah diri dan berusaha.”

Luis Enrique dijangka mengubah pasukannya menjelang kunjungan ke Emirates, Rabu ini.

Sergio Busquets sedang menjalani penggantungan manakala Javier Mascherano, Jordi Alba dan Dani Alves dijangka kembali diturunkan selepas berehat pertengahan minggu ini.

Begitupun, Messi, Suarez dan Neymar pasti diturunkan.

Sementara itu, impian Zinedine Zidane untuk menjadi pengurus berjaya di Real Madrid berterusan selepas menang 2-0 ke atas Roma di Liga Juara-Juara.

Pengendali Perancis itu menang enam daripada tujuh perlawanan yang diuruskannya dan enggan menyerah kalah walaupun ketinggalan tujuh mata di belakang Barca.

“Ia memang sukar tetapi kami akan terus berusaha,” kata Zidane.

Madrid turut berdepan jadual sukar apabila bertandang ke Malaga yang pernah mengikat Real dengan keputusan seri tanpa jaringan awal musim ini sebelum melayan kunjungan Atletico hujung minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2016 @ 5:05 AM