Liverpool: Brendan Rodgers menyatakan kembalinya Liverpool ke puncak prestasi dalam liga sejajar dengan perkembangan Philippe Coutinho sebagai pemain utama di Anfield.

Liverpool tidak kalah dalam lapan perlawanan terakhir domestik dan meletakkan diri dalam pemburuan tiket ke Liga Juara-Juara menjelang pertemuan dengan Burnley, awal pagi esok.

Pemain Brazil, Coutinho menjadi tonggak utama ketika Reds meningkat dan sudah menjaringkan dua gol dalam dua penampilan terakhir, kemenangan ke atas kelab pencabar empat teratas, Southampton dan Manchester City.

Rodgers percaya pemain berusia 22 tahun itu menjadi calon pemain terbaik musim ini.

“Dia pasti akan berada di sana, tiada keraguan mengenainya,” jelas Rodgers. “Dia beraksi dengan amat bagus.

“Tempoh ketika pasukan gagal bertindak baik pada awal musim, kami kurang berjaya menembusi benteng lawan.

“Dia pemain yang mempunyai kelebihan itu, dia biasanya akan melakukan hantaran terakhir bagi pemain yang mahu menjaringkan gol.

“Kami tidak memilikinya pada bulan-bulan awal dan jelas dia terjejas kerana perlu memegang bola lebih lama dan tidak begitu efektif.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 9:10 AM