Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) selamat melabuhkan tirainya Sabtu lalu. Bermula dengan kontroversi sebaik saja diumumkan calon Top 5 hinggalah pada malam diumumkan pemenangnya. Ia terus diperkatakan ibaratnya rumah siap pahat berbunyi.

Malam itu Dewan Plenary di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menjadi saksi Jagat diangkat Filem Terbaik Malaysia FFM28 dan kemuncaknya, Munafik sebagai Filem Terbaik Nasional FFM28.

Perbezaan kategori itu mengundang kekeliruan. Apa bezanya di antara dua ini - satu filem Nasional dan satu lagi filem Malaysia. Sama sahaja bukan?

Ternyata langkah menukar nama kategori ini pada saat akhir untuk memuaskan hati segelintir pihak, bukan jalan penyelesaian terbaik sebaliknya tambah mengusutkan keadaan.

Sejak FFM24, Filem Terbaik dibahagi kepada dua iaitu Filem Terbaik FFM dan Filem Bukan Dalam Bahasa Melayu Terbaik tetapi tahun ini kategori itu mendapat bantahan dan ada pihak mengugut mahu memboikot FFM28.

Ada pihak mempertikaikan kewajaran perbezaan dua kategori itu tidak relevan dalam keadaan pemimpin negara melaungkan slogan 1Malaysia.

Satu pihak lagi mempertahankan syarat penyertaan FFM mestilah dalam bahasa kebangsaan sekurang-kurangnya 70 peratus. Bagaimanapun, ramai pembikin filem mendakwa tidak tahu-menahu mengenai syarat itu malah tidak dinyatakan dalam borang penyertaan FFM28.

Persoalannya di manakah sebenarnya syarat itu? Agak kompleks sebenarnya perkara ini kerana permasalahan ini tidak timbul sebelum ini apabila produser menghasilkan filem Melayu.

Akhir-akhir ini, senarionya berubah dengan kehadiran pembikin berketurunan Cina dan India menghasilkan filem menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

Syarat 70 peratus bahasa kebangsaan itu diperlukan apabila mahu membuat permohonan untuk perakuan sijil pengesahan filem tempatan bagi melayakkan mereka mendapat insentif tayangan filem cereka.

Bagaimanapun, perkembangan terbaru ini menyebabkan kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) mengubah takrifan filem tempatan kepada karya yang dihasilkan rakyat Malaysia tanpa meletakkan syarat penggunaan bahasa.

Dengan perubahan syarat ini, semua pembikin filem rakyat Malaysia layak mendapat insentif tayangan filem cereka.

Untuk FFM akan datang, mungkinkah kategori ini dikekalkan atau berbalik ke asal? Sudah tentu ia bukan tindakan bijak. Apa yang boleh dilakukan ialah FFM perlu tahu hala tujunya dan jika mahu mempertahankan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan, penganjur seharusnya meletakkan syarat untuk penyertaan di FFM29.

Jika syarat 70 peratus itu mahu diguna pakai, ia harus diumumkan dan dinyatakan dengan jelas dalam borang penyertaan supaya pembikin filem tahu dan sedar sendiri sama ada filem mereka layak atau tidak untuk menyertai FFM.

Jika mahu filem mereka dipertandingkan dalam FFM, mereka seharusnya akur dengan syarat ditetapkan dan jika enggan, mereka boleh saja menghantar filem mereka ke festival antarabangsa.

Pilihan di tangan masing-masing tetapi penganjur harus jelas dan tegas dengan syarat ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 5:05 AM