ANGGOTA keselamatan membawa mangsa serangan bom di Kabul untuk rawatan. - Reuters
ANGGOTA keselamatan membawa mangsa serangan bom di Kabul untuk rawatan. - Reuters

Kabul: Sekurang-kurangnya 24 termasuk orang awam terbunuh manakala 91 cedera apabila dua pengebom berani mati Taliban menyerang kawasan berhampiran kementerian pertahanan di Kabul pada waktu puncak lewat petang semalam.

Kira-kira 30 lain turut cedera dalam serangan itu. Dua pengebom berkenaan meletupkan diri dalam jarak waktu singkat dalam serangan yang dilihat bertujuan mencari sebanyak mangsa yang mungkin ketika kakitangan keluar dari bangunan itu pada akhir waktu bekerja.

Jurucakap kementerian, Mohammad Radmanish berkata: “Letupan pertama berlaku di jambatan berhampiran kementerian. Apabila askar, polis dan orang awam datang membantu, letupan kedua pula dilakukan.”

Sementara itu, jurucakap Kementerian Kesihatan, Waheed Majroh mengesahkan 24 orang maut dan 91 cedera, ada antaranya parah. Dia turut memberi amaran jumlah kematian dijangka meningkat.

Presiden Ashraf Ghani mengecam serangan itu.

“Musuh Afghanistan semakin kalah dalam pertempuran mereka dengan pasukan keselamatan. Sebab itulah mereka menyerang lebuh raya, bandar, masjid, sekolah dan orang awam,” katanya.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid berkata, di Twitter bahawa kementerian itu sasaran pertama manakala serangan kedua menyasarkan polis.

Lebih seminggu lalu, 16 orang mati dalam serangan militan selama hampir 10 jam di Universiti Amerika Kabul.

Namun belum ada pihak mengaku bertanggungjawab bagi kejadian itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 10:17 AM