ALICIA Keys tampil tanpa solekan hadiri majlis penganugerahan MTV Video Music Awards.
ALICIA Keys tampil tanpa solekan hadiri majlis penganugerahan MTV Video Music Awards.
Susunan Michelle Gun


Solekan sudah tidak penting bagi penyanyi R&B popular, Alicia Keys yang menghadiri majlis penganugerahan MTV Video Music Awards dengan muka kosong, Ahad lalu.

Ditemani suami tercinta, Swizz Beats, pemuzik berbakat itu tetap kelihatan anggun ketika melangkah permaidani merah.

Pada acara gilang-gemilang itu, penyanyi yang popular dengan lagu Girl on Fire menyampaikan trofi anugerah Video Muzik Artis Lelaki Terbaik.

Sebelum itu, Keys menyampaikan puisi ciptaannya dan menamatkan karya selebihnya dengan menyanyi.

Keputusan untuk tidak bersolek diumumkan Alicia menerusi portal Lenny Letter pada Mei lalu dan menjelaskan keputusan itu diambil bagi memperkasakan diri.

Alicia berkata, wanita terpengaruh dengan persepsi perlu memiliki tubuh seksi dan kurus.

“Saya penat dengan cara orang menghukum wanita dan tanggapan klise dalam semua aspek.

“Setiap kali keluar rumah, saya risau kalau tidak bersolek. Tertanya-tanya bagaimana jika ada peminat mahu bergambar dengan saya dan foto itu dimuat naik di Internet,” katanya.

Sejak itu, Alicia muncul di muka depan majalah Vanity Fair dan Ebony tanpa sebarang solekan pada wajahnya.

Suami Alicia turut menyokong keputusan berkenaan dengan berkongsi gambar pemenang Anugerah Grammy 15 kali itu di laman Instagram.

Dalam kapsyen, Beats memuji Alicia kelihatan seperti gadis berusia 19 tahun jika tidak bersolek.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 10:44 AM