DR MUSA menerangkan mengenai bahaya penyakit pneumokokal.
DR MUSA menerangkan mengenai bahaya penyakit pneumokokal.
DR ZULKIFLI menjelaskan pengambilan vaksin adalah cara paling berkesan bekalkan kekuatan tubuh.
DR ZULKIFLI menjelaskan pengambilan vaksin adalah cara paling berkesan bekalkan kekuatan tubuh.
DR ZULKIFLI dan Dr Musa bersama kanak-kanak pada majlis pelancaran kempen Kidstrong II, baru-baru ini.
DR ZULKIFLI dan Dr Musa bersama kanak-kanak pada majlis pelancaran kempen Kidstrong II, baru-baru ini.
Siti Zarinah Sahib


Pneumokokal menyebabkan lebih 900,000 kanak-kanak di seluruh dunia maut. Kira-kira 15 peratus daripadanya kanak-kanak berusia di bawah lima tahun.

Penyakit ini berpunca daripada sejenis bakteria yang biasa menyebabkan jangkitan pada tekak dan telinga hingga mengakibatkan kesan lebih serius seperti radang paru-paru atau pneumonia serta radang otak.

Bakteria streptococcal pneumoniae atau pneumokokus dikenal pasti sebagai penyebab utamanya. Ia terdapat dalam lapisan hidung dan tekak individu yang sihat (pembawa bakteria) dan tersebar menerusi batuk kepada orang yang berada di persekitarannya secara langsung.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendapati penyakit ini meragut lebih banyak nyawa kanak-kanak berbanding malaria dan demam campak. Kematian kanak-kanak berusia bawah lima tahun itu sewajarnya boleh dielakkan jika ibu bapa sedar mengenai ancaman pneumokokal dan segera mengambil langkah awal pencegahan melalui suntikan vaksin.

Suntikan vaksin 7-valen, berkonjugat protein D influenza hemofilus tidak berjenis dan polisakarida pneumokokal 10-valen membantu memberi perlindungan daripada bakteria ini, sekali gus mencegah penularannya dalam kalangan kanak-kanak yang tidak mendapat vaksin.

Ini ditegaskan oleh pakar perunding pediatrik Datuk Dr Musa Mohd Nordin yang mahu orang ramai lebih sedar bahaya penyakit ini serta bersungguh-sungguh melindungi nyawa kanak-kanak menerusi suntikan vaksin.

Menceritakan pengalamannya yang pernah mengendalikan kes bayi yang demam panas dan muntah-muntah ketika bertugas di Unit Jagaan Rapi Neonatal (NICU) di hospital pakar, malangnya bayi itu mati selepas 10 jam berikutan pneumokokal meningitis.

“Simptom jangkitan pneumokokal sangat mirip dengan demam atau selesema biasa, jadi ia sukar dikesan awal. Biasanya ibu bapa membawa anak mereka yang demam, batuk atau selesema namun tidak menyangka yang anak mereka dijangkiti virus pneumokokal.

“Setiap kanak-kanak berhak membesar dengan sihat dan dilindungi daripada jangkitan pneumokokal. Oleh itu, tiga dos vaksin ini cara paling efektif dan wajar untuk melindungi kesihatan anak anda,” kata Dr Musa yang mahu kaedah pencegahan berkesan disediakan untuk semua kanak-kanak Malaysia.

Buat masa ini, satu dos vaksin yang dikenali sebagai Vaksin Konjugat Pneumokokal (PCV) itu berharga RM200 hingga RM250 dan seorang bayi memerlukan tiga dos yang disuntik pada masa berlainan.

Vaksin itu boleh diberikan kepada kanak-kanak berusia bawah lima tahun, tetapi memandangkan bayi bawah dua tahun lebih terdedah dengan penyakit berkaitan, suntikan kepada bayi lebih penting.

Dia yang juga pengasas Pakatan Strategik Pencegahan Penyakit Pneumokokal Asia (ASAP) berharap agar suntikan vaksin pneumokokal dapat dimasukkan ke dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) dan diwajibkan kepada semua bayi Malaysia.

Untuk itu, Persatuan Pediatrik Malaysia masih berusaha untuk melobi Kementerian Kesihatan untuk tujuan berkenaan, dan sekiranya berjaya, dia percaya harga vaksin itu akan menjadi semakin murah jika mendapat permintaan tinggi.

Hal yang sama turut diakui Pakar Kanak-kanak dan Kardiologi Hospital KPJ Selangor Datuk Dr Zulkifli Ismail yang menjelaskan, pengambilan vaksin satu-satunya cara paling berkesan serta mampu untuk membekalkan kekuatan tubuh daripada diserang penyakit jangkitan kuman yang boleh tersebar menerusi angin ini. Kesedaran kepada ibu bapa untuk mendapatkan vaksin kepada bayi mereka mampu menyelamat nyawa yang tersayang.

Menyedari pentingnya bayi dan kanak-kanak dilindungi daripada penyakit ini, sekali lagi Pfizer Malaysia mengumumkan komitmen mereka untuk menjalankan kempen Kidstrong untuk kali kedua dengan kerjasama Persatuan Pereka Malaysia (MODA), ASAP bersama rakan kongsi barunya, Sunway Pyramid Malaysia baru-baru ini, bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit pneumokokal.

“Pneumokokal ialah jangkitan daripada bakteria berbahaya pneumokokus yang dengan senang dijangkiti dari udara. Kami perharap kempen ini akan terus membuka mata semua orang, terutama ibu bapa mengenai pentingnya pencegahan awal supaya anak-anak dapat hidup sihat tanpa sebarang penyakit berjangkit,” jelas Datuk Dr Zulkifli.

Kempen kali ini mengambil adiwira sebagai tema bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai bahaya jangkitan kuman yang boleh membawa maut ini. Oleh itu, ia menggunakan selendang ‘cape’ sebagai simbol untuk melindungi kanak-kanak .

Salah satu misi kempen Kidstrong Phase II adalah untuk mengumpul seramai individu demi menyebarkan mesej perlindungan keselamatan yang berguna.

Sebagai inisiatif kebajikan, kempen ini turut merangka pelan untuk menjual barangan adiwira seperti kain balut badan bayi serta pakaian sarung bayi kepada orang awam atas tujuan kebajikan sekali gus memberi kesedaran dan pemahaman kepada semua berkenaan penyakit ini.

Semua dana yang terkumpul hasil daripada jualan barang berkenaan akan disumbangkan kepada Yayasan Chow Kit (YCK), iaitu sebuah badan organisasi yang bertanggungjawab mengurus dan melindung kanak-kanak terbiar di sekitar jalan Chow Kit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 11:18 AM