VAKSIN penting untuk dewasa.
VAKSIN penting untuk dewasa.
Siti Zarinah Sahib

Bilakah kali terakhir anda mengambil vaksin? Adakah ketika di sekolah rendah dan selepas itu tidak pernah menerima sebarang suntikan? Penulis sendiri pernah mendapatkan suntikan vaksin HPV atau human papilloma virus, itu pun selepas 23 tahun mengambil vaksin terakhir pada usia 12 tahun.

Seperti penulis, rata-rata rakyat Malaysia beranggapan pengambilan vaksin hanya untuk kanak-kanak, ketika perlu mengembara ke luar negara atau menunaikan haji dan umrah.

Ramai tidak tahu individu dewasa juga perlu mendapat vaksin dari semasa ke semasa bagi mengelak penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin seperti influenza atau flu yang menjadi isu kesihatan utama dan membimbangkan di seluruh dunia. Bagi yang tidak mendapat vaksin mereka berisiko 100 kali lebih tinggi untuk meninggal dunia akibat penyakit mudah berjangkit apatah lagi jika anda mempunyai masalah kesihatan tertentu.

Bukan itu saja, pesakit juga akan mengalami penderitaan disebabkan komplikasi penyakit yang serius, terpaksa menjalani rawatan berpanjangan, bil perubatan yang tinggi dan berhadapan kemungkinan kecacatan kekal atau kematian.

Kesannya lebih buruk apabila berlaku penyebaran penyakit secara tidak sengaja kepada keluarga dan orang tersayang terutama kanak-kanak dan bayi, ibu bapa yang sudah lanjut usia atau mereka yang lemah sistem imunisasi (daya ketahanan badannya).

Ini dijelaskan oleh Naib Presiden Persatuan Penyakit Berjangkit & Kemoterapi Malaysia (MSIDC) Profesor Madya Dr Ariza Adnan yang mengatakan ramai orang dewasa tersalah anggap mengenai penyakit cegahan vaksin sebagai tidak berbahaya. Contohnya bagaimana mereka keliru mengenai influenza dengan demam selesema.

Influenza bukan sekadar sakit selesema yang teruk tetapi penyakit serius dan berisiko tinggi kepada semua orang terutama warga emas dan pesakit kronik kerana jangkitan boleh merebak dengan cepat kepada kumpulan ini.

“Walaupun beberapa simptom influenza seperti demam, batuk dan selesema adalah serupa seperti demam selesema biasa, tetapi kedua-duanya adalah penyakit berlainan yang boleh menyebabkan pesakit kehilangan nyawa jika tidak dirawat segera.

“Apa yang membezakan dua jangkitan ini adalah mereka yang dijangkiti influenza akan mengalami demam pada suhu lebih tinggi, batuk berkahak dan menyebabkan komplikasi kepada paru-paru seperti keradangan,” katanya dalam sesi dialog media mengenai program promosi vaksinasi khusus untuk dewasa anjuran MSIDC dan Persatuan Perubatan Malaysia.

Katanya, ramai juga menganggap jangkitan influenza itu bermusim. Walaupun ini mungkin benar bagi negara beriklim sederhana, tetapi memandangkan Malaysia sering mengalami hujan, terdapat kemungkinan dijangkiti influenza pada bila-bila masa sepanjang tahun memandangkan virus mudah tersebar dalam iklim sebegini.

Untuk itu pemvaksinan menjadi langkah penting yang boleh diambil untuk mencegah jangkitan influenza. Namun, masyarakat di negara ini jarang melihat suntikan sebagai cara melindungi kesihatan terhadap influenza, meskipun kebanyakan daripada mereka tergolong dalam kumpulan berisiko.

Perlindungan untuk semua

“Ramai ibu bapa beranggapan vaksin hanya perlu diberikan kepada kanak-kanak. Apabila meningkat dewasa ia tidak lagi dianggap perlu kerana merasakan sistem imunisasi sudah cukup untuk melawan virus.

“Ini tidak benar kerana persekitaran dan amalan gaya hidup menyebabkan sistem imunisasi menjadi semakin lemah, sedangkan bakteria dan virus terus mengalami evolusi menjadikannya mudah untuk menyerang sistem badan manusia,” kata Dr Ariza yang mengakui walaupun pandangan mengenai vaksin dewasa tidak jauh berbeza berbanding beberapa negara lain di Asia Tenggara, realitinya penggunaan vaksin influenza di Malaysia adalah sangat rendah.

Sementara itu, Presiden MSIDC Profesor Dr Zamberi Sekawi berkata, ibu bapa dan penjaga kanak-kanak perlu mendapat vaksin untuk mencegah daripada menyebarkan penyakit kepada bayi dan kanak-kanak.

“Malah kami menyarankan ibu bapa mempertimbangkan vaksinasi sebelum mereka cuba hamil bagi membantu mencegah kecacatan ketika lahir. Antara vaksin yang boleh diambil termasuk influenza, MMR (demam campak, beguk dan rubela) varisela (cacar air), Tdap (tetanus, difteria dan pertusis) dan polio,” katanya.

Untuk kumpulan lanjut usia pula, Dr Zamberi menerangkan vaksinasi memberi perlindungan daripada penyakit yang menyerang sistem imun yang lemah terutama bagi penghidap penyakit kronik seperti diabetes, paru-paru, dan jantung.

“Individu berusia 50 tahun dan ke atas dinasihatkan mendapatkan vaksin influenza, pertusis, pneumokokal dan kayap manakala yang mempunyai masalah kesihatan kronik perlu lebih proaktif mengurangkan risiko jangkitan. Oleh itu vaksin influenza, pneumokokal, hepatitis A dan B adalah penting untuk golongan ini,” katanya.

Bagi yang gemar mengembara pula vaksinasi melindungi daripada penyakit merebak di rantau ini. Oleh itu vaksin yang disarankan adalah influenza, pneumokokal, meningokokal, tifoid, hepatitis A, demam kuning, Japanese ensefalitis, tetanus dan difteria.

“Individu yang aktif dalam hubungan seksual disarankan mengambil vaksin HPV dan hepatitis B manakala suntikan tetanus penting bagi mereka yang menggemari aktiviti berisiko untuk tercedera,” sambungnya.

Bagi Pengerusi Program Promosi Vaksin untuk Dewasa Profesor Dr Yasmin A Malik, program yang pertama di Malaysia ini menampilkan saranan vaksinasi bagi ibu bapa, penjaga kanak-kanak, warga emas, penghidap penyakit kronik dan pengembara.

“Saranan ini dibuat berdasarkan parameter kesihatan, umur, gaya hidup dan pekerjaan. Ini adalah ciri unik bagi program Promosi Vaksin untuk Dewasa kerana mereka tidak perlu menjadi pakar untuk tahu vaksin yang diperlukan tetapi mengetahui peringkat dan keadaan hidup pada waktu itu,” kata Yasmin.

Tambahnya lagi, orang ramai boleh menggunakan direktori dalam talian untuk mencari klinik yang menawarkan vaksin bagi dewasa dan membincangkan keperluan vaksinasi dengan doktor berpengalaman. Untuk makluman lanjut layari www.ifl.my/vaxincheck.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 1:09 PM