Siti A'isyah Sukaimi

 

Putrajaya: Kementerian Kesihatan sentiasa berhubung rapat dengan Kementerian Kesihatan Singapura untuk lebih memahami situasi dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini susulan pengesahan satu kes jangkitan Zika membabitkan rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di negara berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah berkenaan bagi menyelaras tindakan pencegahan dan kawalan kedua-dua negara daripada jangkitan penyakit itu.

"Memandangkan Malaysia mempunyai vektor pembawa virus Zika iaitu nyamuk aedes, kejadian kes Zika boleh berlaku sekiranya ada rakyat negara ini melawat negara yang berlaku jangkitan virus Zika dan tidak mengambil tindakan pencegahan awal.

"Sebagai langkah kesiapsaagaan, Kementerian Kesihatan meningkatkan pemantauan di dua pintu masuk utama di Johor Bharu dan mengedarkan risalah mengenai pencegahan jangkitan Zika," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang wanita rakyat Malaysia berusia 47 tahun dipercayai pesakit pertama dijangkiti virus Zika di Singapura.

Kementerian Kesihatan Singapura dan Agensi Persekitaran Kebangsaan (NEA) Singapura yang dimaklumkan mengenai kes itu berkata, oleh kerana dia tidak berkunjung ke kawasan yang kes itu dilaporkan, dia mungkin dijangkiti di Singapura.

Dr Noor Hisham berkata, kesiapsiagaan pemantauan ini termasuk menyediakan kumpulan paramedik di pintu masuk berkenaan bagi menguruskan sekiranya ada pelawat yang menunjukkan tanda jangkitan Zika.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 4:11 PM