Hamdan Saaid


Rio de Janeiro: Datuk Lee Chong Wei mempunyai 72 jam sebelum turun beraksi kali kedua bagi saingan peringkat kumpulan pada temasya Sukan Olimpik, kali ini.

Pemain nombor satu dunia itu mudah membenam cabaran pemain muda Surinam, Soren Opti 21-2, 21-3 kelmarin namun berdepan cabaran lebih sengit berbanding aksi pertama apabila menentang Derek Wong dari Singapura, Ahad ini.

Chong Wei mempunyai rekod baik bertemu Derek selepas menang semua empat pertembungan dengan straight set dan kali terakhir 21-10, 21-10 pada pusingan ketiga Masters Malaysia di Pulau Pinang, Januari lalu.

“Saya ada rehat tiga hari sebelum turun menentang Derek. Kalau ada masa terluang, saya mungkin datang ke stadium menyaksikan perlawanan,” katanya yang menjadi sandaran utama kontinjen negara merebut pingat emas pertama Sukan Olimpik.

Selepas kecundang awal pada penampilan sulungnya di Athens 2004, Chong Wei tewas dua kali berturut-turut di tangan bintang China, Lin Dan pada perlawanan penentuan pingat emas di Beijing 2008 dan London 2012.

Jurulatih perseorangan Hendrawan menegaskan rekod pertemuan belum tentu membantu pada temasya seperti Olimpik sekalipun yakin Chong Wei mampu mengatasi pemain nombor 55 dunia itu.

“Rekod pertemuan tidak membawa apa-apa makna di sini. Apa yang penting Chong Wei perlu berhati-hati dan tidak memandang remeh cabaran lawannya kerana ia boleh memakan diri,” jelas jurulatih dari Indonesia itu.

Chong Wei mesti menjuarai kumpulannya untuk layak ke suku akhir. Juara kumpulan itu mendapat bye pada pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2016 @ 5:10 AM