CHONG Wei.
CHONG Wei.
RASHID (kiri) ditemui ketika  pelancaran Kejohanan Badminton ASICS 2016 di Sunway Pyramid.
RASHID (kiri) ditemui ketika pelancaran Kejohanan Badminton ASICS 2016 di Sunway Pyramid.
Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Bekas pemenang pingat gangsa Olimpik Atlanta 1996, Rashid Sidek mengingatkan agar jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei supaya berwaspada dengan prestasi musuh tradisi Lin Dan di Olimpik Rio.

Berpandukan kepada dua perlawanan awal yang dimenangi Lin Dan ternyata pemenang dua emas Olimpik berturut-turut itu tampak bersungguh untuk mempertahankan kejuaraan kali ini.

“Memang dia (Chong Wei) kena betul-betul fokus, kena nilai ‘game’ dia (Lin Dan), kita tak boleh tengok permainan Lin Dan sebelum ini, sebab kadang-kadang persiapan dia tak begitu bagus tapi bila kejohanan besar seperti Olimpik persiapan dia lebih baik, kena betul-betul waspada.

“Chong Wei tak boleh pandang rendah lawan dia terutama Lin Dan yang akan ditemui di separuh akhir, prestasi Lin Dan bagus jika dilihat pada dua perlawanan sebelum ini,” kata Rashid kepada pemberita semalam.

Rashid, bekas jurulatih kebangsaan yang kini membimbing kelab Sports Affairs hadir pada majlis pelancaran Kejohanan Badminton Asics 2016.

Chong Wei yang dikecewakan Lin Dan di pentas final Olimpik Beijing dan London sebelum ini dijangka tidak berdepan masalah untuk melepasi halangan awal sebelum bertemu jaguh China itu di separuh akhir.

Pemain utama negara itu memulakan kempen dalam Kumpulan A dengan mengalahkan wakil Surinam Soren Opti 21-2, 21-3 manakala Lin Dan yang bersaing dalam Kumpulan E pula sudah melakar dua kemenangan ke atas David Obernosterer dari Austria 21-5, 21-11 dan Vladimir Malkov (Bulgaria) 21-18, 21-7.

“Saya tengok kebanyakan pemain kita sudah bersedia tapi harapan tinggi masih kepada Datuk Lee Chong Wei. Sebelum ini dia dapat dua perak jadi tahun ini kita harap dapat emas,” kata Rashid.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2016 @ 5:21 AM