SEU Bock (kanan) beri arahan kepada Chong Wei.
SEU Bock (kanan) beri arahan kepada Chong Wei.
Hamdan Saaid


Rio de Janeiro: “Dia lebih matang dan tahu apa yang perlu dilakukan ketika berdepan saat sebegini,” ujar jurulatih perseorangan negara Tey Seu Bock mengenai Datuk Lee Chong Wei pada temasya Sukan Olimpik Rio.

Chong Wei, 33, menjadi harapan utama rakyat Malaysia untuk merangkul pingat emas pertama pada temasya Sukan Olimpik selain pelumba basikal Azizulhasni Awang dan penerjun Pandelela Rinong.

Tekanan yang dihadapinya mungkin hanya dia yang tahu namun Seu Bock yakin pemain nombor satu dunia itu sudah masak dan tidak mudah tergugat dengan permainan minda lawannya.

“Semangatnya kuat dan tahap keyakinannya juga bagus. Apa yang penting dia tahu bagaimana untuk menangani tekanan pada hari pertandingan,” kata Seu Bock yang sudah melatih Chong Wei sejak 2002.

Beliau juga yakin pemain perseorangan utama negara itu lebih bersedia kali ini selepas hanya meraih dua pingat perak di Beijing 2008 dan London 2012, kedua-duanya tewas di tangan Lin Dan dari China.

Lin Dan sebelum ini dilaporkan cuba ‘menyerang’ Chong Wei apabila menyatakan dia akan turut beraksi di Tokyo 2020 jika pemain negara bermain lagi hingga ke temasya itu.

“Dia tak mudah tergugat dengan semua ini kerana bukan semalam dia mula bermain badminton di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Chong Wei, yang dijangka bertemu musuhnya Lin Dan pada separuh akhir di Rio, memulakan aksi peringkat kumpulan menentang Soren Opti dari Surinam, esok.

Turut berada bersamanya dalam Kumpulan A, Derek Wong dari Singapura, lawannya yang akan ditemui Ahad ini.

Chong Wei, yang bangkit daripada penggantungan akibat doping tahun lalu, mendapat bye pada aksi pusingan kedua jika layak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 9:24 AM