Jakarta: The Jakarta Post mempertahankan penyiaran kartun kontroversi oleh akhbar itu selepas ketua pengarangnya, Meidyatama Suryodiningrat, didakwa menghina Islam.

Akhbar itu berkata, kartun berkenaan tidak bertujuan menghina mana-mana agama sebaliknya sekadar “karya kewartawanan.”

“Pada asasnya kartun itu dibuat untuk untuk mengutuk Negara Islam (IS) kerana tindakan anggotanya melakukan kekejaman dengan berselindung di sebalik agama di Syria dan Iraq,” kata kenyataan dikeluarkan semalam.

Terdahulu, media melaporkan, Meidyatama Suryodiningrat kini disiasat pihak berkuasa kerana disyaki menghina Islam melalui kartun berkenaan.

Kartun itu memaparkan bendera dengan imej tengkorak dan tulang serta kalimah syahadah - seperti bendera IS.

Kartun itu disiarkan pada 3 Julai lalu dan ditarik semula beberapa hari kemudian selepas mendapat kecaman beberapa pihak.

Akhbar itu turut meminta maaf secara terbuka.

Meidyatama boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun jika disabitkan kesalahan berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:07 AM