KARTUN terbaru Charlie Hebdo yang menghina Aylan.
KARTUN terbaru Charlie Hebdo yang menghina Aylan.

Paris: Majalah satira Perancis Charlie Hebdo dikecam semalam selepas mendakwa seorang kanak-kanak pendatang yang mati lemas mungkin menjadi penyerang seksual jika dia hidup.

Imej mayat Aylan Kurdi mengejutkan dunia apabila disiarkan akhbar di seluruh dunia September lalu.

Sejak itu, majalah berkenaan menyiarkan beberapa kartun dengan memberi tumpuan pada kanak-kanak Syria itu yang mayatnya ditemui terdampar di pantai Turki.

Kartun terbaru yang dikaitkan Charlie Hebdo dengan kanak-kanak Muslim itu ialah menggambarkannya dengan sekumpulan migran yang didakwa melancarkan serangan seksual di Cologne, bandar di Jerman pada sambutan Tahun Baru lalu.

Dalam kartun itu, Aylan digambarkan sudah dewasa, mengejar seorang wanita.

Majalah itu yang pejabatnya menjadi sasaran serangan kumpulan Islam tahun lalu mendakwa, kartun terbarunya itu hanya untuk menggambarkan sentimen anti-Islam dan pendatang.

Bagaimanapun, ia dikecam secara meluas di media sosial dan dituduh perkauman serta cuba menyebarkan kebencian.

Pengguna Twitter menyifatkan kartun terbaru itu ‘memualkan.’

Kartun kontroversi itu diterbitkan pada ulang tahun pertama pejabat majalah itu menjadi sasaran serangan anggota al-Qaeda yang menyebabkan 11 orang, termasuk kartunis, mati.

Penyerang menuduh Hebdo menghina Nabi Muhammad (SAW). - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 8:02 AM