Salehhudin (dua dari kanan) menunjuk alat perjudian dalam talian yang dirampas seluruh Sabah pada sidang media di Kota Kinabalu. FOTO Izhari Ariffin
Salehhudin (dua dari kanan) menunjuk alat perjudian dalam talian yang dirampas seluruh Sabah pada sidang media di Kota Kinabalu. FOTO Izhari Ariffin
Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: Polis berjaya merampas sebanyak 507 mesin slot, tablet dan set komputer berunsur perjudian yang bernilai RM416,150 dalam serbuan di 216 premis di seluruh Sabah sepanjang Januari hingga Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Salehhudin Abd Rahman berkata, daripada jumlah terbabit, seramai 349 individu turut ditahan dengan dua daripadanya disiasat mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

"Dalam tempoh1 Januari hingga 31 Julai lalu, kita berjaya merampas pelbagai alat perjudian seperti tablet, mesin slot dan komputer berunsur perjudian haram yang bernilai RM416,150 di seluruh Sabah.

"Polis turut menahan seramai 349 orang yang didapati terbabit dalam kegiatan perjudian siber ini dengan dua individu daripadanya ditahan mengikut POCA," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pagi tadi.

Menurutnya, semua rampasan dan tangkapan disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Ordinan Hiburan Negeri Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2016 @ 11:07 AM