Ewe Kiang (kanan) melihat iklan haram yang diturunkan di sekitar bandar Ipoh. FOTO FARAH SUHAIDAH OTHMAN
Ewe Kiang (kanan) melihat iklan haram yang diturunkan di sekitar bandar Ipoh. FOTO FARAH SUHAIDAH OTHMAN
Farah Suhaidah Othman


Ipoh : Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak mengenal pasti empat individu dipercayai terbabit dalam kegiatan ceti haram atau along di Perak.

Ketua JSJK negeri Superintendan Lee Ewe Kiang berkata, empat individu berkenaan sudah dikenal pasti dipercayai masih bebas bagi membolehkan mereka dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

"Susulan daripada 30 aduan diterima setakat ini bagi tahun 2017, polis sudah menahan 10 individu dipercayai terbabit dalam kegiatan haram itu.

"Kita dalam usaha mengenal pasti empat lagi yang dipercayai masih berada di negeri ini untuk diambil tindakan di bawah POCA," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 194 aduan diterima dan seramai 117 tangkapan dibuat membabitkan ceti haram.

"Empat daripada 117 individu ditahan pada tahun lalu dikenakan tindakan mengikut POCA.

"Tahun ini polis dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak akan berkompromi dan akan membanteras kegiatan along secara berterusan termasuk menurunkan banting atau papan iklan yang menawarkan pinjaman.

Dalam perkembangan sama, Ewe Kiang berkata, dalam operasi bersama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) selama dua jam bermula jam 10.30 pagi hari ini, pihaknya menurunkan 2,366 papan iklan haram yang mempromosi kegiatan ceti haram itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 5:19 PM