WAKIL UNICEF ke Malaysia dan Brunei, Dr Rashed Mustafa Sarwar (kiri) dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Digi Kuala Lumpur, Joachim Rajaram menyempurmakan majlis menandatangani MoU. FOTO Ihsan Digi
WAKIL UNICEF ke Malaysia dan Brunei, Dr Rashed Mustafa Sarwar (kiri) dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Digi Kuala Lumpur, Joachim Rajaram menyempurmakan majlis menandatangani MoU. FOTO Ihsan Digi
Redzuan Muharam

Subang Jaya: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama menerusi perjanjian memorandum persefahaman (MoU) berkaitan dengan kemasukan dan ketahanan digital selain pembelaan hak kanak-kanak di era teknologi, hari ini.

Kerjasama itu terjalin hasil perkongsian global antara Telenor Group dan UNICEF yang memanfaatkan platform digital Telenor untuk mengurangkan ketidaksamaan di samping meningkatkan kemahiran kanak-kanak dan orang muda untuk masa depan digital.

Perjanjian itu ditandatangani oleh wakil UNICEF ke Malaysia dan Brunei Dr Rashed Mustafa Sarwar serta Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Digi Kuala Lumpur Joachim Rajaram.

Dr Rashed berkata, Digi pertama kali bekerjasama dengan UNICEF pada 2012 dalam inisiatif yang merangkumi hak, prinsip perniagaan serta isu kritikal lain berkaitan dengan kesejahteraan kanak-kanak di Malaysia.

"Kami berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Digi, salah satu rakan jangka panjang kami dan penyokong kuat kanak-kanak.

"Fokus utama perkongsian ini adalah untuk melindungi kanak-kanak di platform dalam talian kerana mereka juga berdepan ancaman seperti individu lain," katanya ketika program dialog maya, hari ini.

Dialog maya itu turut disertai Duta Besar Norway ke Malaysia Gunn Jorid Roset, Ketua Kelestarian Digi Philip Ling, Naib Presiden dan Ketua Kemahiran Digital dan Pekerjaan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Dr Sumitra Nair, Presiden Majlis Anak PJ Allison Low dan Naib Presiden dan Ketua Kelestarian Asia Telenor Group Manisha Dogra.

Sementara itu, Joachim berkata, kerjasama terjalin didorong oleh visi bersama kedua-dua pihak untuk melindungi hak kanak-kanak dan mengurangkan ketidaksamaan melalui penggunaan teknologi yang positif dan akses ke Internet.

"Kami percaya kerjasama dan perkongsian ini adalah cara yang paling berkesan untuk meningkatkan dan memaksimumkan kesan positif kepada masyarakat dan ekonomi.

"Lagipun Digi sudah memperjuangkan ketahanan digital dan SaferInternet untuk semua sejak sedekad yang lalu melalui program Internet Selamat yang unggul dan dengan bangganya bekerjasama dengan UNICEF untuk melakukan perubahan yang lebih mampan buat generasi masa depan negara.

"Kerjasama dengan UNICEF adalah lanjutan program Yellow Heart untuk memperkasakan lebih banyak rakyat Malaysia dengan kemahiran digital masa depan yang dipercepat," katanya.

Pada tahun lalu, UNICEF bekerjasama dengan MDEC dan Kementerian Pendidikan dalam inisiatif Kemahiran Masa Depan Untuk Semua selama tiga tahun.

Matlamatnya adalah mendigitalkan mata pelajaran sekolah komputer dan teknologi dan menjadikan e-pembelajaran lebih mudah untuk kanak-kanak sekolah.

Kedua-dua pihak turut menganjurkan kempen #ENDViolence Youth Talk untuk meningkatkan kesedaran mengenai campur tangan berkaitan isu pembuli kanak-kanak dan keganasan dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 5:48 PM