DIGI lancarkan kaji selidik Kehidupan dalam Talian Kanak-kanak sepanjang Wabak Covid-19.
DIGI lancarkan kaji selidik Kehidupan dalam Talian Kanak-kanak sepanjang Wabak Covid-19.

Kuala Lumpur: Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) melancarkan kaji selidik Kehidupan dalam Talian Kanak-kanak sepanjang Wabak Covid-19: Nilai dan Cabaran Yellow Heart.

Ia bertujuan mengenal pasti bagaimana pelajar sekolah di Malaysia menyesuaikan diri dengan gaya hidup digital yang baharu ketika menghadapi pandemik ini.

Ia termasuk bagaimana situasi itu mempengaruhi literasi dan daya tahan digital pelajar dalam menghadapi potensi risiko dalam talian.

Digi menyasarkan untuk mengumpul maklum balas daripada sekurang-kurangnya 2,000 pelajar sekolah di seluruh negara, berumur 10 hingga 18 tahun.

Kaji selidik ini akan dijalankan selama sebulan bersempena Hari Belia Antarabangsa pada minggu hadapan. Ia akan dilakukan secara dalam talian sehingga 6 September depan.

Ketua Bahagian Kelestarian Digi, Philip Ling berkata, melihat kehidupan kanak-kanak yang menjadi 'digital secara automatik' akibat pandemik ini, pihaknya berasa amat penting untuk memahami apa yang dihadapi pelajar, penjaga dan guru pada masa ini.

"Salah satu objektif utama kaji selidik ini adalah mengajukan soalan penting kepada kanak-kanak dan belia mengenai pengalaman serta risiko yang mereka hadapi ketika dalam talian.

"Seterusnya, kami boleh menggunakan maklum balas yang diterima untuk merangka inisiatif yang lebih berkesan dalam menangani isu berkenaan, termasuk membantu menambah baik pengalaman pembelajaran serta aktiviti riadah dalam talian mereka," katanya.

Sebelum ini, Digi berjaya mengumpul maklumat berkaitan tahap kefahaman pelajar mengenai buli siber melalui kaji selidik Digi Yellow Heart Cyberbullying and Youth Disposition yang diadakan pada 2018.

Melalui inisiatif Yellow Heart, Digi menggalakkan penggunaan internet yang selamat dan mendukung usaha membina daya tahan digital dalam kalangan pelajar sekolah.

Baru-baru ini, Digi telah meraikan ulang tahun ke-10 program Safe Internet yang bertujuan memperkasa rakyat Malaysia untuk menjadi pengguna dalam talian yang bertanggungjawab.

Sebagai usaha melengkapkan rakyat Malaysia dengan bahan serta pengetahuan berkaitan dengan keselamatan internet, Digi menyediakan beberapa sumber seperti portal Yellow Heart Safe Internet, iaitu portal sehenti yang mengandungi pelbagai bahan pendidikan seperti buku panduan, video dan modul untuk ibu bapa serta kanak-kanak.

Di samping itu, Digi juga bekerjasama dengan UNICEF Malaysia, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menyediakan pembelajaran Kemahiran Masa Hadapan melalui platform Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) agar pelajar sekolah di Malaysia dapat menikmati pelbagai peluang pembelajaran menerusi internet.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 7:01 AM