Polis memuatkan mayat wanita yang mati ditikam di Dataran Russell, London, ke dalam ambulans untuk dibawa ke hospital - Foto AP
Polis memuatkan mayat wanita yang mati ditikam di Dataran Russell, London, ke dalam ambulans untuk dibawa ke hospital - Foto AP
Reuters

London: Seorang wanita terbunuh dan lima lagi cedera akibat ditikam seorang remaja berusia 19 tahun yang mengamuk menggunakan pisau di tengah London pagi ini (waktu Malaysia).

Polis bersenjata dikerah ke tempat kejadian pada 10:33 malam (waktu tempatan) selepas seorang lelaki bersenjatakan pisau mula menyerang orang ramai di Dataran Russell.

Penolong Pesuruhjaya Polis Metropolitan London, Mark Rowley, berkata siasatan awal menunjukkan lelaki itu mengalami masalah mental.

Polis yang tiba menggunakan pistol kejutan elektrik Taser untuk menahan lelaki berkenaan dan siasatan polis dilakukan cawangan jenayah berat serta anti pengganas bagi menilai sebarang kemungkinan.

Mangsa wanita yang berusia 60-an itu mati ketika dirawat di tempat kejadian. Lima mangsa yang cedera ialah seorang wanita dan empat lelaki yang kini dirawat di hospital dengan tiga daripadanya sudah dibenarkan keluar dari hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 4:20 PM